Kotak hitam pesawat kargo ditemui
TIMIKA - Kotak hitam milik pesawat kargo Indonesia yang terhempas di Papua minggu lalu ditemui pada jam 9 pagi tadi (waktu tempatan).
Alat itu ditemui pada kedudukan ekor pesawat Twin Otter DHC6-400 oleh pasukan penyelamat dari Bandung yang turut membantu operasi dan menyelamat (SAR).
Kotak hitam berkenaan kemudiannya dibawa ke Timika pada jam 11 pagi.
Jurucakap Tentera Indonesia, Leftenen Kolonel Sugeng Sugiarto berkata, kotak hitam itu diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT).
Sementara itu, pasukan penyiasat KNKT yang diketuai Chairul berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dan menganalisis kandungan kotak hitam dan juga rakaman data penerbangan (FDR).
"Kita menjangkakan proses tersebut mengambil masa kira-kira lima bulan.
"Kami akan memeriksa dan menganalisis bukti utama untuk menentukan punca nahas pesawat," katanya.
Dua hari lalu pasukan SAR Indonesia berjaya memindahkan empat mayat penumpang pesawat kargo itu.
Pasukan SAR berkata, empat mayat ditemui berhampiran bangkai pesawat ringan yang terhempas di Papua pada 18 September lalu.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan pesawat yang membawa tiga kru, seorang pegawai polis dan 1.7 tan beras itu hilang selepas tidak mendarat beberapa jam sejurus berlepas dari bandar Timika menuju ke Ilaga, sebuah kawasan pergunungan di timur wilayah Papua.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!