RON97 naik 12 sen, RON95, diesel kekal
KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 naik 12 sen kepada RM2.79 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada kadar RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 4 Oktober.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan berdasarkan pengiraan mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism (APM)’, harga runcit petrol RON 95 dan diesel bagi tempoh tersebut masing-masing sepatutnya RM2.49 dan RM2.39 seliter.
"Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel pada paras RM2.32 seliter,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan harga runcit bagi kedua-dua produk itu dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 28 September hingga 4 Oktober adalah berjumlah RM173.26 juta,” kata kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!