Penyusuan eksklusif Arif, Azzahra
KEHADIRAN si comel Arif Jiwa Asyraf Khalid sememangnya dinantikan selebriti kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin.
Usai mendirikan rumah tangga bersama suami, Asyraf Khalid pada 1 November 2015, Tya atau nama sebenarnya Nutria Wulandari memanjatkan doa semoga segera dikurniakan cahaya mata.
Menurut wanita yang memiliki rambut hitam dan panjang mengurai itu, segalanya bermula selepas beliau mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur demi berada di samping suami tercinta.
"Pada fasa awal perkahwinan saya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri sepenuh masa dan memperlahankan karier seni seketika di tanah air (Indonesia).
"Tambahan pula, pada tempoh berkenaan saya belum aktif mengusahakan bisnes jamu, Mutyara. Bertitik-tolak daripada itu saya terfikir alangkah indahnya hari-hari mendatang diserikan dengan tangis dan tawa bersama bersama anak,” tutur Tya ketika ditemui Femina di kediamannya di Cyberjaya baru-baru ini.
Ujar beliau yang merupakan menantu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, keterujaannya semakin membuak-buak apabila disahkan hamil dan selamat melahirkan cahaya pertama pada 31 Mac 2017.
"Pada ketika itu, perasaan saya bercampur-baur. Bersyukur memiliki Arif, tetapi kaget kerana tidak tahu cara menguruskan hal penyusuan badan, mengenali ragam bayi dan perlu berpantang dalam tempoh yang sama.
"Lebih menyedihkan, seminggu awal selepas bersalin air susu badan pula terlalu sedikit. Saya bimbang anak tidak kenyang dengan air susu sendiri. Namun begitu, saya enggan menyerah kalah lantas berusaha tip supaya perjalanan motherhood berjalan sempurna,” imbasnya yang dinobatkan sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019 oleh pihak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH KL) pada bulan lalu.
Nampaknya, komitmen Tya menggali ilmu khususnya berkaitan penyusuan badan membuahkan hasil. Jika sebelum ini, beliau bimbang kuantiti susu yang sedikit, namun kini sebaliknya.
Baik untuk Arif, 3, mahupun Azzahra berusia empat bulan susu badan, Tya tidak pernah surut sehingga mampu memberikan susu badan secara eksklusif.
Bagaimana wanita yang memiliki ketinggian setinggi 166 sentimeter itu berupaya memberikan penyusuan eksklusif selama dua tahun buat anaknya? Adakah rutin penyusuan badan sesuatu yang memenatkan dan membebankan?
Kepada wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF, Tya berkongsi pengalamannya dalam melunaskan tanggungjawab sebaik sahaja bergelar ibu.
1. Tahniah telah dinobatkan sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019. Kongsikan perasaan anda apabila dipilih menerima penghargaan tersebut daripada pihak WCH KL?
TYA: Alhamdullilah....semestinya tanggal 16 Ogos lalu akan tersemat kemas dalam kamus hidup saya kerana menerima penghormatan seumpama ini.
Saya tidak menyangka perkongsian ikhlas mengenai pengalaman penyusuan badan dan tip parenting (keibubapaan) bersama pengikut laman sosial Instagram peribadi, @tyaarifinnw telah menarik minat hospital.
Pada awalnya, saya sekadar berkongsi tentang masalah asas yang dihadapi minggu pertama usai melahirkan Arif. Antaranya kuantiti susu badan yang sedikit dan sebab bayi menangis sama ada dia kelaparan ataupun perut masuk angin.
Bagaimanapun, saya tidak meluahkan masalah semata-mata, sebaliknya disusuli dengan tip dan cara penyelesaian yang dipraktikkan secara konsisten.
Hari demi hari, saya bersama followers (pengikut) terutamanya mereka yang pertama kali menjadi ibu kerap bertukar pandangan dan saling bersoal jawab. Lantas, saya mengambil keputusan mewujudkan Instagram, @journeywithtya.
2. Rumuskan dengan lebih lanjut fungsi Instagram @journeywithtya?
Akaun instagram tersebut adalah untuk memudahkan para ibu muda dan baharu khususnya memahami panduan penyusuan susu badan dan ilmu keibubapaan berdasarkan perjalanan peribadi saya.
Selain doktor dan keluarga golongan ibu muda hari ini turut memerlukan pengetahuan dan sokongan daripada rakan sebaya yang sedang mengalami detik (penyusuan badan) sama.
Rata-rata ibu muda yang menghantar komen atau DM (pesanan terus) kepada @jouneywithtya beranggapan proses berkenaan hanya memerlukan mereka memberikan susu badan kepada bayi sehingga kenyang.
Walhal, sepanjang melaksanakan proses ini ia perlu disusuli ilmu dan teknik ideal supaya hasilnya menggembirakan ibu manakala anak kecil pula kenyang dengan baik.
Penyusuan susu ibu akan menjadi mudah dan momen membahagiakan sekiranya kita berfikiran positif dan menggali ilmu pengetahuan sebelum fasa bersalin.
Selepas melahirkan Arif, saya menjadi panik kerana tidak mengetahui pengurusan penyusuan susu badan termasuk kaedah mengepam susu yang betul. Pada masa sama, buntu memikirkan kuantiti susu badan sedikit.
Justeru, dalam tempoh seminggu saya giat mencari ilmu menerusi laman sosial, bahan bacaan dan merujuk doktor. Kemudian, secara perlahan-lahan saya amalkan untuk Arif dan kini diteruskan kepada Azzahra.
Bagi saya situasi kelam-kabut tidak akan berlaku sekiranya melakukan persediaan sebelum bersalin.
Justeru, setiap detik yang ditempuhi saya catat dan berkongsi bersama wanita dalam @journeywithtya.
3. Anda antara wanita yang memberikan susu badan secara eksklusif kepada anak-anak. Mengapa memilih berbuat demikian, sedangkan segelintir ibu bertindak memberikan susu formula meskipun anak mereka belum mencecah usia setahun?
Seperti yang kita sedia maklum, susu ibu mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan dan tumbesaran bayi. Disebabkan itu para ibu disarankan memberi susu badan secara minimum sehingga bayi berusia enam bulan atau maksimum dua tahun.
Bagaimanapun, saya tidak mahu menghakimi wanita yang cepat memberikan susu formula kerana kemungkinan mereka mempunyai kekangan peribadi sehingga terpaksa berbuat demikian.
Namun begitu, nasihat saya selagi mempunyai susu badan baik sedikit mahupun banyak adalah lebih bagus memberikan kedua-duanya kepada bayi.
Selain menguatkan antibodi bayi kelak, sesi menyusu badan secara terus membantu mengikat kasih sayang antara anak dan ibu.
Pada waktu itu, ibu bukan sahaja dapat berehat seketika, bahkan berpeluang bersentuhan, membelai, memeluk dan menatap wajah si kecil.
Jangan terburu-buru ketika menyusu badan. Biarkan setiap titis air susu tersebut dinikmati anak dengan baik dan inilah masa istimewa bayi 'mengenali' ibunya.
4. Selain isteri, ibu dan pelakon anda juga bergelar usahawan jamu jenama Mutyara dan aktif berniaga di ekspo di dalam ataupun di negara jiran. Justeru, bagaimana anda menguruskan proses penyusuan badan ketika berada di gerai jualan khususnya?
Ramai wanita bertanyakan soalan sama, tetapi seperti yang saya maklumkan kita perlu berfikiran positif dan bertenang. Jangan sesekali beranggapan bahawa memberikan susu badan secara terus atau mengepam susu tugas yang membebankan.
Ironinya, sama ada di rumah, pejabat atau booth (gerai jualan) saya tetap mengamalkan rutin harian iaitu memberikan susu badan secara terus kepada anak dan mengepam setiap dua jam sekali.
Namun begitu, aktiviti mengepam susu merupakan inisiatif masing-masing. Saya melaksanakannya mengikut formula demand (permintaan) dan supply (penghasilan).
Lagipun mengepam susu badan di kawasan awam tidak menjadi masalah memandangkan masyarakat kini semakin terbuka dan memahami situasi para ibu sedang 'bertugas'.
Selain mencari ruang yang terlindung atau bilik rehat bayi golongan ibu juga boleh melakukannya di mana-mana, asalkan badan dilindungi lapisan napkin nursing.
Pastikan sebelum keluar rumah anda menyarungkan busana dan pakaian dalam yang longgar bagi memudahkan proses memasang alatan mengepam.
Paling utama, jangan lupa membawa beg yang lengkap dengan peralatan mengepam. Ini termasuklah, sarung plastik khas mengisi susu, pen dan pek ais supaya susu bertahan sebelum dipindahkan ke dalam peti sejuk beku.
5. Anda menyatakan aktiviti mengepam susu dilakukan demi demand dan supply. Huraikan definisi formulasi berkenaan?
Dalam proses menyusu badan bermula daripada Arif dan terbaharu Azzahra saya kekal mengamalkan formula demand dan supply.
Ia merujuk pada semakin banyak permintaan susu badan maka semakin tinggi pembuatannya.
Bagaimana? Caranya adalah menerusi kaedah menyusu badan secara terus dan mengepam secara berselang-seli selagi susu badan belum kering.
Misalnya, wanita yang hanya melakukan direct breastfeeding maka jumlah susu akan keluar cukup-cukup untuk permintaan kaedah berkenaan.
Namun begitu, apabila disusuli pula dengan proses mengepam maka hasilnya kuantiti susu badan ibu meningkat dua kali ganda kegunaan penyusuan secara terus dan pam.
Selain itu, kita wajar mengosongkan payudara kerana otak akan bekerja untuk melakukan pengeluaran berdasarkan pemintaan.
Saya bersyukur, berkat kesungguhan mempraktikkan formula ini air susu untuk anak-anak tidak pernah putus.
Stok susu di rumah juga bertambah sehingga suami terpaksa membeli peti sejuk beku tambahan khas untuk penyimpanan pek susu badan.
Sehubungan itu, saya juga tidak bimbang apabila terpaksa bertugas di luar daerah. Walaupun anak-anak tidak berpeluang minum susu badan secara terus, tetapi mereka tetap menikmati susu saya menggunakan botol.
ANEKDOT
Tip Tya Ariffina) Payudara bengkak
- Tekan buah dada bersama air suam selama dua hingga tiga minit sahaja.
- Kemudian, urut lembut payudara bagi mmengurangkan kesakitan bengkak tersebut.
- Sentiasa menyusukan bayi secara terus.
- Perah susu badan menggunakan tangan.
b) Cara banyakkan susu badan
- Para ibu perlu sentiasa berfikiran positif berbanding tertekan kerana stres akan mempengaruhi produksi air susu.
- Minum air putih sekurang-kurangnya tiga hingga lima liter sehari bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menjejaskan pengeluaran air susu.
- Sentiasa melakukan rutin mengepam untuk mengosongkan payudara. Selepas kosong maka secara automatik ia akan mengeluarkan air susu yang lebih banyak.
c) Taktik menceraikan susu badan daripada anak
- Dua minggu sebelum itu berikan kata-kata positif kepada anak supaya minum menggunakan botol susu.
- Orang sekeliling seperti suami, ibu mertua atau kakak perlu memberi sokongan terhadap keputusan tersebut.
- Para ibu perlu tegas dan kuat dari segi mental dan emosi apabila anak-anak enggan menyusu menggunakan botol. Pujuk mereka dengan baik.
Nama penuh: Nurtria Wulandari Arifin
Nama pentas: Tya Arifin
Umur: 24 tahun
Asal: Palembang, Indonesia
Adik-beradik: Anak ketiga daripada empat beradik
Kerjaya: Penyanyi, pelakon, usahawan
Hobi: Memasak dan menonton wayang
Nama suami: Asyraf Khalid
Tinggi: 166 cm
Berat: 53 kg
Anak: Arif Jiwa (3 tahun) dan Azzahra Jiwa (4 bulan)
Warna kegemaran: Hitam dan nude
Instagram: @tyaarifinnw
: @journeywithtya
Terima kasih
Solekan:@ynsakinah
Rambut: @norezzidris
Busana: @syaifulbaharimrtw
Tip penyusuan susu ibuSelebriti kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin pernah mengalami air susu badan yang sedikit ibarat titisan embun selepas melahirkan cahaya mata pertama, Arif Jiwa Asyraf. Bagaimanapun, beliau enggan menyerah kalah lalu mencari ilmu dan tip penyusuan badan terbaik. Kini hasilnya amat memberangsangkan sehingga beliau menerima anugerah daripada pihak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada bulan lalu. Justeru apakah anugerah yang dinobatkan kepada @tyaarifinnw? dan ketahui momen beliau bersama ibu mentuanya iaitu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin @ctdk. Ikuti perkongsian eksklusif Tya bersama wartawan Femina, Izyan Liyana Mohd Darif dan juruvideo, Shukri Mohamad di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini. Artikel penuh klik: https://www.sinarharian.com.my/article/49626/SISIPAN/Femina/Penyusuan-eksklusif-Arif-Azzahra Wartawan: Izyan Liyana Mohd Darif Penyunting video: Nurul Adriana Amir #FEMINA #tyaarifin
Posted by Sinar Harian on Sunday, September 29, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!