Kita dilanda wabak gajet

A
A
A

LEBIH baik kita mengaku bahawa semua orang dapat merasakan di mana sahaja, bila-bila masa bahawa masalah perkauman kian menebal sekarang.

Adalah sesuatu yang amat malang, setelah 62 tahun merdeka, kita, Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum semakin saling curiga-mencurigai.

Padahal keadaan tidak seteruk ini dulu-dulu. Saya lahir dan dibesarkan dalam masyarakat berbilang kaum tetapi hidup harmoni.

Saya bersekolah, bermain, berkelahi dengan rakan-rakan Cina, India, ada seorang Serani tetapi tiada rasa dendam tiada sebarang syak.

Maka, hairan saya, setelah zaman silam yang penuh harmoni tiba-tiba kita berasa keharmonian itu semakin terhakis, sentimen Cina-Cina, Melayu-Melayu, India-India semakin menebal.

Kenapa?

KENAPA? Sekali lagi, lebih baik kita mengakui bahawa orang politik adalah biang keladi yang menyemarakkan prasangka antara kaum.

Politik sepatutnya menyatukan dan merapatkan majmuk tetapi politik berasaskan kaum dan agama. Ternyata memecahbelahkan sesama kita.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang lagi apabila pemimpin-pemimpin politik sendiri termasuk sesetengah menteri bermain api perkauman untuk meraih penyokong.

Sekiranya pemimpin politik sendiri setiap hari terang-terang membuat kenyataan dan tindakan perkauman, apa dihairankan sekiranya prasangka dan kebencian semakin membara.

Orang politik tidak kira parti termasuk pemimpin, hatta menteri sendiri patut dipertanggungjawabkan atas perpecahan kaum yang semakin ketara sekarang.

LEBIH baik kita mengaku juga bahawa media sosial menjadi ejen atau batu api yang menghangatkan sentimen perkauman.

Sebagaimana diakui oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pihak tidak bertanggungjawab sering menyebarkan berita dan kenyataan palsu di media sosial sengaja membangkitkan api kemarahan kaum.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas dengan terus menahan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menularkan artikel yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

“Jangan buat keputusan sendiri buat komen tambahan. Perbuatan berkongsi artikel itu seterusnya buat komen tambahan akan ditangkap, tiada amaran lagi,” tegas beliau.

Umum berharap ketegasan polis dalam memerangi berita tidak benar di sosial media yang boleh mengancam perpaduan kaum dan ketenteraman awam.

BERCAKAP mengenai media sosial, kita patut mengakui bahawa kita ada lebih 15 juta pengguna media sosial di Malaysia. Berdasarkan jumlah penduduk 32 juta, kita adalah antara negara paling ramai dan paling ketagih media sosial.

Penagih tegar gajet itu tidak kira jantina dan umur menjadikan Facebook, WhatsApps, Instagram dan lain-lain sebagai menu harian.

Mereka bergajet hampir setiap masa tidak kira di tempat awam, restoran, pondok menunggu bas, masjid, bilik tidur hatta di tandas.

Marilah kita mengakui bahawa gajet atau media sosial ini penyakit yang semakin parah.

ABDUL Hamid menjangkakan Low Taek Jho atau nama manjanya Jho Low akan dibawa pulang menjelang akhir tahun ini.

"Polis mengesan dan mengetahui di mana gerangan jutawan kelahiran Pulau Pinang yang kini menjadi buruan polis itu. Rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkuasa negara persembunyian Jho Low dan yakin kita akan berjaya membawa pulang buruan tersebut,” katanya.

Harap dia betul-betul dapat dibawa balik ke negara ini untuk menikmati nasi kandar dan merungkai banyak misteri.

AKHIR kalam, masih mengenai media sosial. Sesetengah warga maya menampal di Facebook setiap dua jam, ada juga setiap setengah jam.

Ada sahaja yang ditampal, makan pagi, memasak, menukar lampin bayi, mengisi tangki kereta, pendek kata apa sahaja kegiatan.

Tidak sahaja menampal kenyataan, disertakan juga dengan sekian banyak gambar setiap tampalan. Saya kagum dengan dia orang.

Politik sepatutnya menyatukan dan merapatkan majmuk. Tetapi politik berasaskan kaum dan agama, ternyata memecahbelahkan sesama kita."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!