Dua maut pacuan empat roda jatuh gaung
KUCHING - Dua penumpang kenderaan pacuan empat roda maut setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Jalan Kampung Kambug Padawan di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang tadi, kedua-dua mangsa warganegara tempatan, Sarik Susis, 55, dan Boy Gaus, 45, yang duduk di bahagian kabin terbuka di belakang terjatuh dari kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mereka dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Alexson Naga Chabu mangsa bersama pemandu dan empat penumpang lain sedang bergerak dari arah Kampung Kiding menuju ke arah Kuching, sebelum kejadian.
“Apabila melalui selekoh di Jalan Kampung Kambug, kenderaan terbabit terbabas ke sebelah kanan jalan dan jatuh ke gaung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu dan dua penumpang lain mengalami kecederaan di kaki atau leher dan masih dirawat di Hospital Umum Sarawak, manakala dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda terbabit telah dibawah ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!