Guru maut kereta terbabas

Kereta yang dinaiki sepasang suami isteri remuk akibat kemalangan di KM18 Jalan Jerantut-Benta petang semalam. - Foto ihsan polis
Kereta yang dinaiki sepasang suami isteri remuk akibat kemalangan di KM18 Jalan Jerantut-Benta petang semalam. - Foto ihsan polis
A
A
A

JERANTUT - Seorang guru maut selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Kilometer 18 Jalan Jerantut-Benta di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Nur Syairah Nadiah Samsudin, 27, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangsang, Benta meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan dalam kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, suami mangsa, Abdul Zameer Zaqwan, 27, yang berasal dari Kuala Terengganu juga cedera di kepala.

Menurutnya, ketika kejadian suami isteri terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dari arah Jerantut menghala ke Jalan Benta dalam keadaan hujan.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai terbabas ketika melalui selekoh lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang elektrik.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga penumpang hadapan sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya dibawa ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan.

Artikel Berkaitan:

"Berhenti di tempat selamat jika hujan lebat bagi mengelakkan pokok tumbang dan rancang perjalanan dengan memastikan keadaan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!