Kapal tangki minyak Britain tiba di Dubai
DUBAI - Kapal tangki minyak Britain, Stena Impero yang ditahan di Pelabuhan Bandar Abbas, Iran selama lebih dua bulan dilaporkan berlepas semalam dan tiba di perairan Dubai.
"Stena Impero mula berlepas menuju perairan antarabangsa Teluk Parsi pada jam 9 pagi (waktu tempatan) hari ini (semalam).
"Di sebalik pelepasan kapal, kes undang-undangnya masih terbuka di mahkamah Iran.
"Kapten dan kru kapal telah memberi kenyataan rasmi bertulis mengatakan mereka tidak mempunyai tuntutan," kata organisasi maritim wilayah Hormozgan di laman web mereka.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Stena Bulk, syarikat Sweden yang memiliki kapal tangki terbabit berkata, ia sampai di perairan antarabangsa sekitar jam 9.45 pagi (waktu tempatan) dalam perjalanan ke Dubai, lokasi di mana kru kapal akan dihantar pulang.
"Setibanya di Dubai, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menguruskan anak kapal dan kemudian cuba membuat kapal beroperasi semula," kata Erik Hanell kepada AFP.
Menurut sebuah laman web penjejak kapal, MarineTraffic.com, kapal terbabit tiba di perairan Dubai sejurus selepas tengah malam waktu tempatan.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menahan kapal Stena Impero di Selat Hormuz pada 19 Julai lalu selepas mengepungnya dengan bot dan menyerbu ke atas dek.
Ia kemudian ditahan di Pelabuhan Bandar Abbas kerana didakwa gagal menjawab panggilan kecemasan dan mematikan transponder selepas melanggar sebuah bot nelayan.
Tujuh daripada 23 kru kapal dibebaskan pada 4 September lalu. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Iran bebaskan kapal Britain yang dirampas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!