Malaysia sasar eksport produk halal RM50 bilion tahun depan

Dari kanan: Prof Dr Denis Zvizdic, Saifuddin dan Sefik Dzaferovic.
Dari kanan: Prof Dr Denis Zvizdic, Saifuddin dan Sefik Dzaferovic.
A
A
A

SARAJEVO - Malaysia berhasrat untuk mengeksport produk dan perkhidmatan halal sebanyak RM50 bilion pada tahun 2020 untuk menjadikan negara sebagai pemimpin global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan dalam sektor halal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran itu dapat dicapai melalui kerjasama yang erat di antara agensi kerajaan dan sektor swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita juga telah merangka beberapa usaha dan program terutamanya Halal Industry Blueprint for 2008-2020 yang bertujuan untuk mencapai matlamat menjadikan negara sebagai pemimpin global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan dalam sektor halal.

“Ketika ini, Malaysia melalui Taman Halal yang diiktiraf oleh HALMAS iaitu akreditasi yang diberi oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) telah berjaya menarik pelaburan melebihi RM13 bilion.

"Ianya dijangka berkembang dengan pesat selaras dengan pertambahan penduduk Islam seluruh dunia yang kini mencapai 1.8 bilion orang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sarajevo Halal Fair 2019 di sini hari ini.

Pada acara itu, Saifuddin bersama Pengerusi Majlis Menteri-Menteri Bosnia Herzegovina, Prof Dr Denis Zvizdic dan Anggota Presidennya, Sefik Dzaferovic menyaksikan upacara menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bernilai sekitar EUR25 juta (RM115 juta) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Bosnia dan Herzegovina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hubungan dagang antara Malaysia dan Bosnia dan Herzegovina bertambah baik dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencatat AS$1.7 juta (RM7 juta) pada 2017 dengan jumlah pertumbuhan yang besar sebanyak 179.9 peratus berbanding 2016.

“Pada 2017, eksport Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina bernilai AS$881,373 (RM3.7 juta) manakala import pula berjumlah AS$786,214 (RM3.3 juta),” katanya.

Saifuddin berkata, antara eksport utama Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina adalah produk elektrik dan elektronik, makanan olahan, produk getah serta peralatan optik dan saintifik.

Artikel Berkaitan:

“Manakala import utama kita pula ialah produk kimia, produk kayu, tekstil, pakaian dan kasut serta produk elektrik dan elektronik,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga pelbagai bidang kerjasama yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia dan Bosnia seperti produk makanan terutama makanan halal, produk getah, produk elektrik dan elektronik, hospitaliti dan farmaseutikal, kosmetik, kewangan, pelancongan, e-perdagangan, logistik dan perkhidmatan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!