Pesara polis maut nahas tiga kenderaan
IPOH - Seorang pesara polis maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Jelapang-Lebuh Raya Meru, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Zamri Abu Hassan, 60, beralamat dari Halaman Meru Permai, Bandar Meru Raya meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki tidak sempat mengelak sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang wanita yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan pelanggaran berlaku menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan.
"Kemudian datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun terlanggar kenderaan mangsa yang terbalik di atas jalan.
"Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal hanya cedera ringan sementara pemandu wanita berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, mangsa sebelum ini bertugas sebagai jurufoto di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Katanya, pemandu pacuan empat roda telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian anak mangsa di Facebook, Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!