Tiba-tiba kena tembak dari belakang
TEXAS - Seorang Timbalan Sherif terbunuh selepas ditembak ketika sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas berhampiran Houston semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari (waktu tempatan), Sandeep Dhaliwal, 42, yang juga merupakan seorang veteran 10 tahun dari Pejabat Sherif Harris County dan timbalan Sikh pertama menahan sebuah kereta dengan dua orang di dalamnya.
Menurut Mejar Mike Lee, keadaan ketika itu kelihatan seperti biasa dan Dhaliwal berbual dengan pemandu kereta tersebut selama lebih kurang dua minit.
"Tiada pergaduhan, tiada pertelagahan. Semuanya nampak seperti rutin kami mengawal lalu lintas setiap hari.
"Ketika mangsa berpusing untuk kembali ke kenderaan perondanya, pemandu berlari keluar dari kenderaan dan menembak Dhaliwal dari belakang sekurang-kurangnya dua kali. Serangan hendap itu berlaku sangat cepat antara tiga hingga lima saat," katanya.
Dhaliwal disahkan meninggal dunia di Hospital Memorial Hermann.
Susulan kes itu, polis menahan Robert Solis, 47, selepas mengenal pasti imejnya menerusi rakaman kamera papan pemuka dalam kereta Dhaliwal.
Sebelum ini, Dhaliwal pernah menjadi tajuk utama di AS selepas meminta izin untuk memakai turban dan berjambang sebagai sebahagian daripada uniformnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!