Pekerja restoran makanan segera maut kemalangan
KEMAMAN - Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera maut selepas motosikal jenis Benneili ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Unser di Jalan Ibok-Ayer Jernih di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari, mangsa, Mohammad Rosyaidi Nor Jasmi, 21, dari Kampung Baru Kemasik di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tok Kaya, Kemasik ke tempat kerja di Chukai, di sini.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret memasuki laluan bertentangan.
"Motosikal itu seterusnya merempuh kereta dipandu seorang wanita yang dalam perjalanan dari arah Ayer Jernih menghala ke Ibok.
"Pemandu wanita terbabit cuba mengelak namun gagal sebelum kereta dipandunya terbabas ke ladang kelapa sawit berhampiran tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala pemandu wanita bersama suaminya masing-masing berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!