Rakyat Sabah dakwa dinafi hak miliki MyKad
KLANG - Pertubuhan Kebajikan Muafakat Terbilang Malaysia (Mualang Malaysia) menuntut pembelaan terhadap rakyat Sabah yang didakwa dinafikan hak untuk mendapatkan MyKad biarpun memiliki sijil kelahiran yang sah.
Ahli Majlis Tertingginya, Arfa Bancho berkata, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah kerana berlaku perkara sedemikian.
Menurutnya, kebanyakan mereka masih gagal memperoleh MyKad biarpun terpaksa berulang-alik dari Sabah ke JPN Putrajaya.
"Kesukaran tiada MyKad menyebabkan rata-rata etnik Bugis ini terpaksa berdepan pelbagai masalah seperti pendidikan, pekerjaan dan perkahwinan. Malah ada antara kami di sini takut untuk keluar rumah kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.
"Tidak nafikan ada antara kami hingga meminjam wang ribuan ringgit daripada saudara-mara dan rakan kerana diugut dan diminta untuk menyerahkan sejumlah wang sekiranya mahu dilepaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Apartmen Sri Angkasa, Taman Bayu di sini hari ini.
Arfa berkata, semasa berurusan dengan pihak JPN, banyak alasan remeh diberikan biarpun mereka lulus ujian kerakyatan.
Malah dakwanya, ada antara mereka diminta untuk membayar RM500 hingga RM1,000 sekiranya lokasi semakin ke kawasan pedalaman.
"Masalah ini sentiasa berlarutan dan dianggarkan 10,000 warga Sabah berada di Lembah Klang ini seperti tertipu biarpun sudah pergi ke JPN Putrajaya. Jadi sebagai tindakan lanjut, seramai 100 orang telah hadir ke Balai Polis Klang Selatan untuk membuat laporan bagi tindakan lanjut pihak berwajib," katanya.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Adzara Amir, 61, berkata, dia berdepan kesulitan untuk mendapatkan MyKad empat orang cucunya.
"Seorang cucu saya berusia 15 tahun sepatutnya menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) namun terpaksa berhenti sekolah kerana tidak memiliki MyKad.
"Saya sudah pergi ke JPN Sandakan, JPN Semporna, JPN Sandakan, JPN Tawau dan JPN Putrajaya, tapi semuanya tidak terima dan saya ditolak ke sana sini macam pingpong. Malah saudara saya sendiri di Sabah, biarpun sudah lapan tahun berurusan tiada sebarang perkembangan.
"Di JPN Tawau, saya diminta bayar RM1,500 tapi saya tidak beri sebab saya orang susah. Malah ada ejen bergerak dilantik JPN di Semporna misalnya meminta RM2,500 bagi seorang untuk uruskan bagi mendapatkan MyKad. Jadi yang miskin seperti kami ini tetap tidak dapat MyKad," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!