Dakwah cara Luqman Hakim

Luqman Hakim Malik berpengalaman 15 tahun dalam bidang pengacaraan. (Foto : Zahid Izzani)
Luqman Hakim Malik berpengalaman 15 tahun dalam bidang pengacaraan. (Foto : Zahid Izzani)
A
A
A

KELIBAT jejaka tinggi lampai ini di kaca televisyen barangkali tidak asing lagi. Sering kali muncul sebagai pengacara program dan juga model iklan baik untuk TV, majalah dan surat khabar. Luqman Hakim Malik juga pernah mencuba nasib sebagai penyampai radio di Ikim FM pada tahun 2015 sebelum beralih arah ke dunia komunikasi korporat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2017.

Kerjayanya sebagai Ketua Komunikasi Korporat membuatkan lelaki berusia 37 tahun itu hilang seketika daripada radar industri seni.

Namun bagai satu tarikan yang kuat dan rindu terhadap dunia pengacaraan membawa Luqman kembali sebagai pengacara Sembang Rahmah di saluran TV AlHijrah.

Program tersebut akan memulakan siaran pada 21 Oktober ini, setiap hari Isnin, jam 9 malam sebanyak 8 episod siaran. Manakala episod pengenalan telah disiarkan pada 16 September yang lalu.

Walaupun program rakaman, namun Luqman tidak mengambil mudah terhadap tugasnya.
Walaupun program rakaman, namun Luqman tidak mengambil mudah terhadap tugasnya.

“Sebelum ini saya tak rasa diri saya dikenali ramai, tapi selepas dua tahun bekerja di kementerian, ramai yang tegur dan tanya kenapa sudah lama tidak melihat saya di kaca TV.

“Kebetulan, tidak lama selepas kontrak saya tamat pada Jun lalu, pihak produksi TV AlHijrah tanya sama ada saya berminat untuk menjadi pengacara Sembang Rahmah.

“Antara faktor utama yang membuatkan saya tertarik untuk mengemudi program itu adalah disebabkan konsep yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun ia sebuah program santai, tapi kami selitkan dengan Islamik content dan dalam masa yang sama tetamu jemputan terdiri daripada mereka yang bukan Islam.

“Secara tidak langsung ia menjadi satu sejarah di AlHijrah dan saya suka meletakkan diri sebagai sebahagian daripada sejarah walau dalam TV AlHijrah sendiri.

“Maklumlah sebelum ini program di AlHijrah lebih dikenali dengan program Islamik,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Luqman, dia menggunakan pengalaman dua tahun ketika mengacarakan Nasi Lemak Kopi O di TV9 dan pengalaman 15 tahun dalam industri pengacaraan sepanjang mengendalikan Sembang Rahmah.

“Sejujurnya saya sudah lama mengimpikan untuk mengendalikan program seperti ini, cuma bezanya saya impikan program yang ada penonton di set.

“Saya anggap Sembang Rahmah sebagai satu permulaan dan saya tetap tak ambil mudah biarpun ia sebuah program rakaman.

“Malah saya juga bersedia untuk dikenali sebagai pengacara program Islamik selepas ini dan saya anggap diberi peluang untuk menyampaikan dakwah dengan cara yang lebih menarik,” jelasnya yang kini turut menyediakan bengkel berkaitan pengacara dan public speaking.

Tarik perhatian bukan Islam

Sementara itu, penerbit program, Nurainah Nabeeha Hassan berkata, Sembang Rahmah adalah sebuah rancangan bual bicara santai yang membincangkan topik-topik menarik melalui perspektif berbeza barisan panel yang dijemput khas ke studio penyiaran digital TV AlHijrah.

Asas utama kepada penerbitan rancangan Sembang Rahmah ini adalah perkongsian pengalaman panel-panel jemputan yang menggalakkan perpaduan, menjalin persefahaman sambil mengetengahkan kepelbagaian adat, budaya dan kepercayaan agama anutan masyarakat Malaysia.

Santesh menjadi antara tetamu dalam Sembang Rahmah.
Santesh menjadi antara tetamu dalam Sembang Rahmah.

“Sembang Rahmah juga dilihat sebagai salah satu inisiatif TV AlHijrah di dalam mengetengahkan rancangan edutainment, iaitu rancangan yang yang mempunyai nilai didik hibur.

“Dalam memastikan objektif ini dapat dicapai di dalam setiap episod siaran, barisan panel yang dijemput ke studio adalah terdiri daripada kalangan selebriti bukan Melayu dengan pengalaman dan latar belakang berbeza,” katanya.

Antara yang menjadi panel jemputan adalah Seelan Paul, Melissa Thng, Levonia Ricky, Sasi The Don, Santesh, Low Ngai Yuen, Adeline Tsen, dan Dr. Soo Wincci.

Mereka akan berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam membicarakan tajuk-tajuk pilihan seperti Saya Anak Malaysia, Boleh Tuju Lagu?, Teh Tarik Satu! dan banyak lagi tajuk menarik lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!