Jerebu: Kedutaan Besar di Indonesia pantau kesihatan di Jakarta

Marzuki Yahya
Marzuki Yahya
A
A
A

KEPALA BATAS -- Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia akan terus memantau keadaan kesihatan sebahagian pelajar negara ini yang dipindahkan ke Jakarta susulan provinsi Riau diisytihar darurat jerebu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, sekiranya ada pelajar mengalami masalah kesihatan yang serius, pihak kementerian akan mempertimbang untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kita telah membawa pulang seramai 131 daripada pelajar yang berada di Pekanbaru dan Jambi manakala sebahagian lagi yang masih belum mendapat visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas) dipindahkan ke Dewan Malaysia (Malaysia

Hall) di Jakarta. Kita tidak membawa mereka pulang ke Malaysia kerana tidak mahu urusan visa mereka akan terganggu.

"Jadi, berkenaan ada (pelajar) yang mengalami batuk yang agak berat, kedutaan kita di Jakarta memantau dengan dekat dan kita juga mengambil kira tentang KITAS mereka itu. Setakat ini tidak ada permohonan untuk mereka dibawa pulang kecuali kalau terlalu serius mungkin kita akan bawa balik," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup program Dambaan Kasih Mahligai Kafa yang dihadiri lebih 5,000 pelajar Tahun Lima di negeri ini yang bakal menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) minggu depan.

Marzuki berkata demikian mengulas mengenai tiga pelajar Malaysia yang dipindahkan dari Riau diberikan rawatan susulan di Rumah Sakit (hospital) Abdi Waluyo di Jakarta, kerana mengalami batuk dan sakit perut.

Pada 26 September lepas, Bernama melaporkan ketiga-tiga pelajar itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia Hall sebelum dibawa ke hospital itu berikutan keadaan kesihatan mereka dan telah dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim di Riau itu ialah Noor Nasriq Syaizmie Rohezat (batuk dan demam), Ahmad Azhari Johari (batuk dan selesema) dan Saiful Hisyam Haslimi (selesema dan sakit perut).

Gabernor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Sementara itu, Marzuki berkata ibu bapa atau waris yang bimbang keadaan anak-anak mereka di sana boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

"Jutaan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan Konsul Jeneral kita di Pekanbaru yang begitu prihatin terhadap pelajar-pelajar Malaysia di sana. Terima kasih juga atas kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Indonesia di dalam mengatasi isu ini di Pekanbaru.

"Setakat ini kita dapat laporan jerebu di Riau sudah berkurangan. Kita doakan supaya jerebu akan terus berkurang dan tidak ada lagi pembakaran hutan di sana," katanya. -- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!