Exists janji persembahan terbaik
KEHANGATAN Konsert Exists Reunion anjuran Shiraz Projects yang akan berlangsung malam ini sudah semakin terasa.
Konsert yang menggabungkan ahli asal Exists iaitu Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram), Musa (bass) bersama dua bekas vokalis kumpulan itu iaitu Ezad dan Mamat.
Menjelang konsert mereka malam ini, Ajai berkata, segala persediaan sudah hampir lengkap dan mereka tidak sabar untuk meninggalkan kenangan manis buat peminat yang hadir.
"Kami bakal mempersembahkan 23 buah lagu yang terdiri daripada lagu hits album pertama sehingga kini. Tidak ada lagu medley, sebaliknya Ezad dan Mamat akan bergilir-gilir membuat persembahan termasuk bernyanyi bersama.
"Pada paparan LED pula kami akan sertakan lirik lagu yang dipersembahkan agar peminat boleh ikut menyanyi bersama," katanya ketika ditemui pada sesi soundcheck di Stadium Melawati Shah Alam, kelmarin.
Tambah Ajai, tahap kesihatan semua anggota juga berada di tahap yang baik dan mereka turut melakukan beberapa aktiviti sukan bagi memantapkan stamina.
"Apa yang saya boleh katakan, kami semua sudah bersedia untuk memberi persembahan yang akan meninggalkan memori indah buat mereka yang hadir.
"Semua berada di tahap yang terbaik, termasuk Mamat yang sudah berada dalam keadaan terbaik untuk tampil pada konsert malam ini," jelasnya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, tiket untuk konsert pada malam ini masih dijual dan kaunter tiket di perkarangan stadium juga turut dibuka.
"Tiket hanya tinggal kurang 1,000 dan ada yang mengeluh kerana tidak dapat memahami sistem pembelian secara atas talian.
"Jadi kami buka kaunter tiket diperkarangan stadium bagi mereka yang masih berminat untuk membeli tiket pada saat akhir," ujarnya
Tiket dijual pada harga RM700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!