Sah gabung kampus Rompin, Putrajaya tahun depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mengesahkan akan melaksanakan Operasi Kampus Berpusat menerusi penggabungan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dengan Kampus Putrajaya tahun depan.

Pejabat Naib Canselor Uniten dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pelaksanaan operasi baharu itu bakal menyaksikan kedua-dua kampus terbabit disatukan sebagai satu entiti di Putrajaya.

"Lembaga Pengarah Uniten yang bersidang pada 24 September lalu meluluskan inisiatif 'Reimagining Uniten' dan memberi mandat kepada pengurusan Uniten untuk melaksanakan Operasi Kampus Berpusat.

"Pelaksanaan Operasi Kampus Berpusat dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun 2020," katanya.

Menerusi kenyataan sama, pengurusan Uniten turut memberi jaminan akan memastikan Operasi Kampus Berpusat berjalan dengan lancar dan mengambil kira kepentingan serta kebajikan pelajar, warga kerja dan pihak berkepentingan dalam perkara tersebut.

Kenyataan itu menyebut, inisiatif itu dilakukan bagi melonjakkan nama universiti untuk berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa khususnya dengan cabaran semasa landskap pendidikan tinggi negara masa kini.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan tetap membantu masyarakat setempat di Muadzam Shah walaupun selepas Operasi Kampus Berpusat dilakukan.

"Uniten dan Real Estate Ventures Department (REVD) serta TNB akan bekerjasama dalam melaksanakan pengoperasian premis KSHAS untuk terus kekal di bawah TNB bagi memastikan kesinambungan peranan TNB di Muadzam Shah, sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk di situ," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Wan Emril Nizam Wan Embong dilaporkan berkata, penutupan kampus universiti itu bakal memberi kesan kepada penuntut yang sedang mengikuti pengajian di situ, selain memberikan masalah kepada mereka untuk menghabiskan pengajian dengan pertukaran kampus lain yang sememangnya memerlukan kos lebih tinggi.

Katanya, penutupan itu juga secara tidak langsung mengganggu pembangunan negeri yang ingin menjadikan bandar Muadzam Shah sebagai hab pendidikan Pahang Tenggara yang mana sebelum ini turut berada di sana adalah Politeknik Muadzam Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: GPMS bantah penutupan Uniten Kampus Muadzam Shah

Susulan itu, Uniten dalam kenyataan berasingan menegaskan penutupan kampus universiti itu tidak akan membawa masalah kepada penuntut untuk menghabiskan pengajian dengan pertukaran ke kampus lain.

"Keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Uniten untuk melaksanakan Pelan Integrasi dan Operasi Kampus Berpusat tidak akan menjejaskan pengajian penuntut di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah yang sedia ada pada masa ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!