Program Botani Desa bantu kurang belanja dapur
NILAI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar melancarkan Program Botani Desa sebagai salah satu inisiatif membantu mengurangkan belanja dapur, sekali gus meringankan kos sara hidup rakyat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program yang mensasarkan penyertaan wanita daripada kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40) itu menggalakkan aktiviti pertanian berskala kecil di kawasan rumah.
“Peserta akan diberi kursus dan latihan yang dikendalikan Jabatan Pertanian bagaimana untuk memulakan aktiviti pertanian dari rumah. Mereka juga akan diberi peralatan asas pertanian seperti baja dan benih.
“Sedikit sebanyak penggunaan kawasan tanah secara optimum di kawasan rumah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, selain mampu menjana sumber pendapatan sampingan jika dilaksanakan secara serius,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Pelancaran Botani Desa dan Wanita Inspirasiku Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.
Rina berkata, pihaknya menyasarkan seramai 3,000 peserta program tersebut tahun ini di 287 buah kelas kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di setiap negeri.
“Mereka yang layak dan berminat boleh membuat permohonan menerusi Kemas. Ia juga boleh dijadikan sebagai permulaan untuk mereka menceburi bidang pertanian secara serius pada masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!