Belia menganggur masih tinggi: Maszlee

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap pengangguran dalam kalangan belia didapati masih tinggi walaupun negara memiliki jumlah graduan ijazah kelas pertama yang ramai.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) amat mengalu-alukan kerjasama swasta-awam dalam membantu graduan kekal relevan terhadap pasaran kerja dengan membekalkan kemahiran yang tepat.

“Malaysia menghasilkan jumlah belia berpelajaran yang ramai namun menurut penyelidikan Khazanah, pengangguran dalam kalangan belia kekal meningkat dengan ketara daripada 9.94 peratus pada tahun 2011 kepada 10.92 peratus pada 2018,” katanya semasa melancarkan program KPM-Celcom Siswapreneur@Google Bootcamp 2019 di sini hari ini.

Maszlee berkata, beliau percaya dengan membekalkan graduan ini dengan skil digital yang tepat menerusi kerjasama awam-swasta, jurang kemahiran dan ilmu pengetahuan ini boleh diatasi, sekali gus membantu belia.

"Program KPM-Celcom Siswapreneur ini adalah contoh Perkongsian Awam-Swasta bagi membangunkan usahawan digital dalam kalangan komuniti Institusi Pengajian Tinggi dan membekalkan para graduan dengan kemahiran pemasaran digital selaras dengan aspirasi negara ke arah mewujudkan ekonomi digital yang kukuh,” katanya.

Maszlee seterusnya berharap Celcom akan sanggup melebarkan perkongsiannya dengan kementerian dalam tempoh jangka masa panjang di samping menyokong usaha bagi mewujudkan graduan yang beretika, berkualiti tinggi, dan berkemahiran.

Program KPM-Celcom Siswapreneur@Google Bootcamp 2019 hari ini dan esok adalah program jangka pendek yang menghimpunkan lebih 250 graduan tempatan dari 40 universiti, politeknik, kolej awam dan swasta di seluruh negara.

Ini kali kedua program itu diadakan hasil kerjasama antara KPM dan Celcom yang wujud sejak 2016 dengan sasaran mewujudkan minat, membangun dan mengukuhkan minda usahawan dalam kalangan pelajar, menyemai serta memupuk kemahiran di samping melahirkan lebih ramai usahawan digital.

Artikel Berkaitan:

Program hari ini menyaksikan empat universiti tempatan - University Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Malaysia Sarawak, dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, menandatangani memorandum persefahaman bagi menyertai 17 lagi universiti yang sudah pun terlibat dengan KPM-Celcom Siswapreneur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!