Malaysia, Turki, Pakistan terajui usaha perjelas Islam
NEW YORK - Malaysia, Turki dan Pakistan bersetuju supaya langkah tertentu diambil untuk menjelaskan apa Islam sebenarnya kepada dunia luar dalam usaha menangkis kaitannya dengan keganasan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini lahir daripada perbincangan yang berlangsung antaranya bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di sini.
“Kami berbincang mengenai masalah orang Islam dan negara Islam dan berpendapat banyak laporan yang dibuat berkenaan agama Islam dan orang Islam tidak menepati apa sebenarnya ajaran Islam sehingga mereka dilabelkan sebagai pengganas dan sebagainya,” katanya.
"Nampaknya pandangan serong itu diterima sebagai sesuatu yang benar sedangkan Islam sebenarnya bukan agama yang ganas. Jadi kita berpendapat bahawa satu usaha mesti dibuat ketiga-tiga negara untuk menjelaskan apa dia agama Islam, supaya tidak ada kekeliruan lagi dan kita tidak lagi dituduh agama yang menggalakkan terrorism," katanya.
Beliau bercakap demikian kepda wartawan Malaysia hari ini di akhir lawatan kerjanya untuk menghadiri UNGA,
Dr Mahathir berkata, langkah itu akan dilakukan secara kerjasama melibatkan badan seperti jabatan penerangan negara-negara berkenaan.
Dalam catatan di akaun Twitter baru-baru ini, Imran Khan berkata, ketika-tiga negara bersetuju mewujudkan satu saluran berbahasa Inggeris untuk melawan Islamofobia dan menjelaskan apakah Islam yang sebenarnya.
Menyentuh pertemuannya dengan pelabur dan Majlis-majlis Perniagaan di sini, Dr Mahathir berkata umumnya mereka ingin tahu kedaaan di Malaysia dan dasar-dasar kerajaan.
"Saya dapat jelaskan bahawa kita masih lagi berpegang kepada dasar luar negara untuk berbaik-baik dengan semua negara," kata perdana menteri.
Menurutnya, mereka juga banyak bertanya pendapat Malaysia mengenai China dan nampaknya kagum dengan kebolehan negara mengurangkan kos projek Laluan Rel Pantai Timur sebanyak kira-kira RM20 bilion.
"Nampak negara lain yang berhadapan dengan masalah sama tidak buat apa apa, jadi mungkin apa yang dilakukan oleh kita itu akan menggalakkan negara lain juga yang hutang banyak dengan China akan cuba kurangkan hutang mereka," kata Dr Mahathir.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menjemput individu tertentu yang berminat untuk mendapatkan nasihat mereka mengenai Koridor Raya Multimedia (MSC).
Menurutnya, mesyuarat badan penasihat MSC sering diadakan setiap tahun sebelum ini, namun pentadbiran-pentadbiran sebelum ini nampaknya tidak memberikan perhatian kepada MSC.
Mengenai isu Rohingya yang disentuh beliau dalam ucapannya di UNGA, perdana menteri berkata beliau kesal kerana nampaknya PBB tidak mampu membantu menyelesaikan masalah di banyak negara kerana menganggap apa yang berlaku adalah masalah dalaman negara terbabit.
"Kerajaan Myanmar tidak hairan dengan kecaman pihak luar dan mereka (Myanmar) masih menganggap bahawa ini usaha mereka melawan pengganas," katanya.
"Ini yang kita kecewa kerana kita tahu apa yang berlaku itu memanglah satu 'genocide', percubaan untuk menghapuskan satu bangsa. Tetapi dunia luar cuma setakat kesal dengan kejadian itu," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kemudiannya terbang ke London dalam perjalanan pulang ke Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!