Deretan empat rumah terbakar di Segambut Tengah
KUALA LUMPUR - Deretan empat rumah di Lot 20114 Kampung Segambut Tengah di sini terbakar malam tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Armdan Mahat berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 10.55 malam.
Menurutnya, seramai 46 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Hang Tuah, Jinjang dan Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan empat rumah jenis separuh kekal berkeluasan 240 kaki persegi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.37 malam.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran tersebut, " katanya.
Armdan berkata, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Turut hadir meninjau kejadian adalah Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!