Tindakan tegas institut kemahiran swasta perdaya pelajar
IPOH - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas institut kemahiran swasta yang didapati memperdaya pelajar supaya mengikuti latihan di pusat itu dengan menjanjikan pembiayaan wang yang disalurkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, peruntukan yang disalurkan kepada agensi di bawah kementeriannya itu adalah mencukupi setakat ini.
"Pembiayaan kepada pelajar menerusi PTPK kini diberi secara ansuran berdasarkan surat perjanjian akujanji yang disediakan institut kemahiran.
"Sekiranya terdapat penipuan, ada proses tindakan dan pihak kami (kementerian) akan membuat pemeriksaan, tindakan akan terus diambil termasuk menahan dan mengheret mereka ke mahkamah sekiranya terdapat tindakan sedemikian," katanya kepada pemberita pada Program Bumi Hijau di Padang Taman Manickavasagam di sini hari ini.
Kula Segaran mengulas laporan akhbar tempatan hari ini bahawa ramai pelatih di institut kemahiran swasta terpaksa menamatkan latihan separuh jalan selepas tidak mendapat pinjaman PTPK seperti yang dijanjikan.
Laporan itu menyatakan bahawa ia adalah taktik licik institut kemahiran swasta ketika menawarkan latihan kemahiran bagi menarik lebih ramai pelatih melanjutkan pengajian ke pusat tersebut untuk mengaut keuntungan namun akhirnya menjerat mereka sekiranya pinjaman tidak diluluskan.
Pelatih akhirnya terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membiayai kos pengajian atau terpaksa berhenti menyebabkan hasrat meningkatkan kemahiran serta pengetahuan bagi memperoleh pekerjaan yang berkaitan tidak kesampaian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!