Perlu siapkan diri hadapi cabaran 2019
KUANTAN - Rakyat negeri ini diminta terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam menjayakan program dan dasar pembangunan yang dicadang dan dilaksanakan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, segala cabaran yang dihadapi pada 2018 dijadikan inspirasi kepada semua termasuk kerajaan negeri agar bergerak lebih maju tahun 2019 ini.
Menurutnya, dalam senario ekonomi yang tidak menentu, rakyat Pahang perlu mempersiapkan diri untuk mengharungi dan menghadapinya tahun 2019 yang mencabar.
“Justeru saya menyarankan agar semua termasuk penjawat awam khususnya dalam pentadbiran kerajaan negeri supaya mengamalkan penjimatan dalam perbelanjaan.
“Saya turut berdoa agar usaha kerajaan negeri untuk membawa kemakmuran kepada negeri demi mensejahterakan rakyat akan terus menerima sokongan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui perutusan tahun baharu 2019 yang dimuat naik di laman sosial Facebook rasminya, hari ini.
Wan Rosdy berkata, rakyat perlu bersedia berdepan kelembapan ekonomi yang dijangkakan tahun ini berdasarkan ramalan sebahagian besar penganalis.
“Dengan pertumbuhan ekonomi semakin perlahan ini, sudah tentu ia akan memberi kesan negatif kepada kehidupan sosio-ekonomi terutamanya rakyat.
“Lebih membimbangkan berlakunya peningkatan kadar pengangguran yang dijangka terus meninggi tahun ini,” katanya.
Dalam perutusan itu, beliau turun mengingatkan rakyat agar memelihara perpaduan kaum di negeri ini agar keharmonian yang dipupuk sejak sekian lama tidak diganggu-gugat sehingga boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!