Agong, Permaisuri naik pesawat angkut TUDM ke Kelantan

-Foto Istana Negara
-Foto Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengutamakan urusan untuk berangkat segera memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra yang mangkat semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menaiki pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400M ke Kelantan.

Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Kota Bharu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra, ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Almarhum Sultan Ismail Petra, 69, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi semalam.

Menurut akaun Instagram Istana Negara, Seri Paduka berdua berkenan berangkat menggunakan pesawat angkut TUDM kerana pesawat kerajaan digunakan untuk tujuan rasmi yang lain.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diiringi anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta pegawai-pegawai dan kakitangan Istana Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ismail Petra selamat dimakamkan

Perkongsian di laman sosial itu turut memperlihatkan Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama kru penerbangan dan sebuah klip video yang merakam detik keberangkatan Seri Paduka dan rombongan.

Ia mendapat perhatian netizen dengan 7,341 ‘like’ setakat 2 petang ini serta komen positif yang memuji tindakan Seri Paduka berdua yang sanggup menaiki pesawat angkut, sekali gus menyerlahkan keperibadian tinggi pasangan diraja itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua ketika berangkat menaiki pesawat angkut TUDM A400M ke negeri Kelantan semalam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra. Keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua terserlah apabila Baginda berkenan berangkat menggunakan pesawat angkut tersebut kerana pesawat kerajaan digunakan untuk tujuan rasmi yang lain. Turut mengiringi Baginda Tuanku Berdua adalah pegawai-pegawai dan kakitangan Istana Negara yang turut menaiki pesawat angkut tersebut. Daulat Tuanku #agongkita #permaisurikita #ourking #ourqueen #tudm #a400m #royal #malaysia

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara) on Sep 28, 2019 at 8:14pm PDT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!