Kayuhan promosi lokasi pelancongan Kuala Pilah
KUALA PILAH – Cuaca yang baik tanpa jerebu memberi peluang kepada lebih 750 peserta program Kuala Pilah Fun Ride berkayuh menikmati keindahan dan kawasan pelancongan menarik sekitar Kuala Pilah hari ini.
Pengurus Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Mohd Afif Anuar berkata, program anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan itu antara pengisian bagi menyemarakkan sambutan Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan.
"Sejak negara dilanda jerebu, kami bimbang program ini terpaksa dibatalkan seperti yang terjadi di beberapa lokasi lain sebelum ini jika indeks pencemaran udara (IPU) berada pada tahap yang tidak sihat.
"Namun, cuaca hari ini amat cerah tanpa sebarang jerebu dan ini sememangnya memberi semangat kepada semua peserta kayuhan," katanya ketika ditemui media di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Afif berkata, biarpun kayuhan ini tanpa menawarkan sebarang hadiah, namun ia tetap menarik minat semua golongan dari umur tujuh tahun sehingga ke 72 tahun.
"Objektif utama program adalah mengeratkan perhubungan antara peminat aktiviti berbasikal di samping mempromosikan kawasan pelancongan menarik di sekitar Kuala Pilah,” katanya.
Sementara itu, Syahrul Nizam berkata, laluan yang dipilih sedikit sebanyak dilihat boleh mempromosikan beberapa kawasan menarik yang terdapat di daerah ini.
"80 peratus laluan adalah meliputi kawasan hijau termasuk ladang, kebun sayur serta hutan yang mendamaikan bermula dari Kompleks Rakan Muda, peserta kayuhan dibawa melalui Jalan Melang menuju ke Bandar Diraja Seri Menanti.
"Di sini, peserta akan dapat melihat keindahan seni bina Muzium Diraja Seri Menanti malah terdapat peserta yang belum pernah sampai ke sini selain Kelab Golf Diraja Seri Menanti serta Tasik Londa Naga yang sering menjadi tumpuan pengunjung," katanya.
Menurutnya, ketika menuju ke Senaling, peserta kayuhan akan melalui perkampungan tradisional Melayu yang tidak sahaja menggamit kenangan sebaliknya menyajikan suasana mendamaikan.
Bermula jam 7.30 pagi, pelepasan kayuhan berkenaan disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Masri Razali.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!