MB digesa campur tangan selesai isu pemilikan tanaman sawit

Penduduk berhimpun memohon campur tangan Menteri Besar menangani isu pemilikan tanaman kelapa sawit seluas 240 hektar yang kini diambil alih sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Penduduk berhimpun memohon campur tangan Menteri Besar menangani isu pemilikan tanaman kelapa sawit seluas 240 hektar yang kini diambil alih sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
A
A
A

SUNGAI PANJANG - Kira-kira 100 pekebun kecil di Kampung Merbau Berdarah berhimpun secara aman menggesa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menangani isu pemilikan tanaman kelapa sawit seluas 240 hektar yang kini diambil alih sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Merbau Berdarah, Mat Nor Sajat, 50, berkata, penduduk memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar mengenai perkara itu.

Menurutnya, pihaknya hairan apabila tanah yang diusahakan penduduk dengan tanaman kelapa sawit sejak sekian lama diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri tanpa notis pemberitahuan.

"Kami bersusah payah menebang hutan belantara dan menanam kelapa sawit di kawasan ini pula diminta membayar sewa kepada anak syarikat kerajaan negeri.

"Tanah ini digazetkan milik anak syarikat kerajaan negeri pada tahun ini dan kami pula dicadangkan membayar RM100 sebulan bagi seekar tanah selama 10 tahun," katanya.

Mat Nor berkata, kira-kira 210 penduduk ketika ini mengusahakan tanaman sawit seluas 1.2 hektar setiap seorang di kawasan itu.

"Hasil sawit inilah kami menyara isteri dan membesarkan anak-anak berpuluh tahun lamanya," katanya.

Katanya, penduduk pernah memohon hak pemilikan tanah secara berkelompok pada 2008.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun ketika itu sebarang permohonan tanah dibekukan sehingga pada 2012 anak syarikat kerajaan negeri memaklumkan tanah diusahakan kami menjadi hak milik mereka," katanya.

Bagi Dasimin Senon, 52, sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berjuang ketika zaman reformasi 1998, dia terkilan dengan kepimpinan kerajaan negeri yang tidak memberi perhatian serius terhadap perkara itu.

"Kerajaan negeri perlu memandang serius isu kami dan ingatlah undi kami boleh menubuhkan kerajaan dan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Kita mahu kerajaan negeri memahami dan memberikan keadilan untuk rakyat di kampung ini," katanya.

Mohd Imran (tengah) mendesak kerajaan negeri memberi keadilan sewajarnya kepada penduduk terlibat.
Mohd Imran (tengah) mendesak kerajaan negeri memberi keadilan sewajarnya kepada penduduk terlibat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kerajaan negeri digesa mengambil perhatian khusus kepada aduan peneroka di kawasan itu dan memberikan keadilan sewajarnya.

Katanya, penduduk telah meneroka tanah terbabit sejak sekian lama dan baru sahaja dimaklumkan tanah terbabit dimiliki anak syarikat kerajaan negeri.

"Saya juga secara peribadi telah menulis surat kepada Menteri Besar dan ada perbincangan untuk mendapatkan tarikh temu janji dengan beliau bersama dengan wakil peneroka di sini.

"Bagaimanapun sehingga hari ini permohonan saya tidak dilayan, mungkin saya bukan wakil rakyat daripada kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!