Nilai murni yang kian menghakis
Dalam kita memantapkan pelbagai usaha memupuk perpaduan dan keharmonian kaum, wujud pula isu dan sentimen yang tersebar di media sosial yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan negara. Media sosial dijadikan gelanggang menyemai kebencian dan mewujudkan prasangka dan amarah.
Pihak tertentu mula berani menyebar kandungan sensitif iaitu perkauman, agama dan institusi diraja. Mutakhir, isu berkenaan semakin menjadi-jadi dan merupakan perkara yang sensitif dan boleh menimbulkan ketidakpuasan hati antara kaum dan agama.
Perkara ini sering diingatkan oleh pihak pemerintah agar mengamalkan nilai-nilai murni yang dipasak sekian lama. Seolah-olah nilai murni mula terhakis dan dipadang sepi oleh pihak yang segaja mengadu domba untuk menebalkan kebencian antara kaum.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, memahami Perlembagaan penting supaya isu sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan tidak dipersoalkan. Sebenarnya penghayatan perlembagaan bukan isu bermusim terutamanya menjelang Hari Kebangsaan, tetapi sepatutnya menjadi amalan setiap warganegara.
Nilai murni boleh memartabatkan masyarakat untuk menjadi masyarakat kelas pertama yang berteraskan prinsip yang mulia sama ada dalam agama, komuniti bangsa dan negara. Masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian mereka adalah masyarakat yang bertamadun. Sekiranya seseorang individu itu diterapkan dengan nilai murni seperti hormat-menghormati, jujur dan amanah, secara tidak langsung akhlak yang mulia dapat dibentuk.
Secara peribadi, lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk menyemai nilai-nilai murni ini dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.
Ramai lagi antara kita yang susah, malas dan tidak tahu mengucapkan ‘terima kasih’ apabila menerima pemberian seperti hadiah, pertolongan, perkhidmatan dan nasihat. Secara umumnya, masih ramai yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni ini walaupun telah mempelajarinya di sekolah.
Kesedaran
Kempen untuk mempromosikan nilai-nilai murni perlu memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian. Kempen sebegini perlu bermula dari sekolah di mana nilai-nilai murni perlu disemai dan diamalkan.
Maka usaha untuk membugar kembali nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat amat memerlukan penglibatan dan penyertaan semua pihak. Ia bukan sekadar retorik atau isu bermusim tetapi seharusnya nilai-nilai murni menjadi satu budaya dalam masyarakat.
Pada masa sama, penekanan perlu diberikan kepada ibu bapa agar meluangkan lebih banyak masa untuk mendisiplinkan dan membesarkan anak-anak. Mereka perlu memastikan anak-anak mereka tidak melanggar undang-undang lalu lintas atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan penyakit sosial lain.
Kita perlu ingat bahawa usaha meningkatkan imej negara bukan terletak pada bahu kerajaan tetapi menjadi kewajipan setiap warganegara yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan membudayakan nilai murni untuk menjayakannya.
Setiap lapisan masyarakat mesti bertanya pada diri sendiri sama ada mereka telah melakukan yang terbaik untuk menjayakan pelbagai kempen mempromosi nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana kejayaan sesuatu kempen bergantung sejauh mana penglibatan dan penyertaan khalayak sasarannya.
Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kepentingan pembelajaran dan pengamalan 36 nilai-nilai murni di sekolah. Menghafal 36 nilai-nilai murni hanya untuk lulus subjek Pendidikan Moral tidak sepatutnya berlaku kerana ia sepatutnya menjadi amalan seharian.
Kempen untuk memupuk kesedaran awam mengenai nilai-nilai murni ini sangat penting kerana anak-anak muda sudah mula melupakannya. Berdasarkan tingkah laku dan sikap ramai rakyat Malaysia, kita tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan usaha untuk memupuk sikap bertanggungjawab dan kesopanan masyarakat.
Janganlah nanti rakyat Malaysia dianggap hanya mampu bekerja keras untuk mengejar pembangunan dan permodenan tetapi gagal untuk memenuhi tanggungjawab sivik mereka untuk memastikan rakyat mengamalkan nilai-nilai murni. Ketika kita sedang bergerak ke hadapan, sudah tiba masanya untuk semua pihak melakukan perubahan tingkah laku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!