Makam Diraja Langgar terus dikunjungi rakyat jelata
KOTA BHARU - Suasana di kawasan Makam Diraja Langgar kelihatan tenang dan rakyat negeri ini masih tidak melepaskan peluang untuk menziarahi makam Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra hari ini.
Rata-rata orang ramai yang memasuki kawasan perkuburan tersebut masing-masing berdoa semoga barisan saf diraja sentiasa dirahmati ALLAH SWT.
Mengikut salah seorang anggota keselamatan yang ditugaskan di kawasan tersebut, kawasan makam diraja mula dikunjungi orang ramai sejak jam 6 pagi lagi, tambahan pula ia bersebelahan Masjid Langgar.
"Orang ramai datang sejak subuh. Selepas solat subuh, mereka singgah ziarah makam baginda sultan. Keadaan di kawasan ini pun terkawal. Masing-masing menghormati adat berpakaian dan sebagainya," katanya.
Tinjauan Sinar Harian turut mendapati ada antara mereka hanya berdoa di luar kawasan makam dan ada yang tidak melepaskan peluang masuk ke dalam pekarangan makam untuk melihat dengan lebih dekat.
Sementara itu, salah seorang pengunjung ditemui, Nor Shamimi Mat Zain, 24, menzahirkan ras kesyukuran apabila berpeluang menziarahi kubur Almarhum.
"Pada mulanya, saya bercadang ke bandar untuk bawa rakan mengenali Kelantan, kebetulan rakan saya baru tiba di negeri ini semalam.
"Ayah pun beritahu kita akan singgah di makam Almarhum. Memang saya pertama kali datang ke makam ini dan pertama kali melihat makam-makam diraja yang disemayamkan di sini.
“Kami semua seluruh ahli keluarga merakamkan ucapan takziah kepada usrah diraja sekalian dengan pemergian seorang raja yang disayangi rakyat ini," katanya.
Wah Hup, 67, antara ribuan rakyat negeri yang sempat merakam detik-detik jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra dibawa menaiki pedati peterana semalam.
Menurutnya, ia merupakan kenangan tidak dapat dilupakan dan dia mahu merakamkan detik-detik tersebut untuk simpanan selepas ini.
“Saya mahu rakam sebab saya mahu tengok lagi selepas ini. Sultan Ismail Petra adalah seorang raja yang berjiwa rakyat. Sangat baik.
“Saya mahu simpan video dan gambar ini untuk kenangan sampai bila-bila,” katanya yang memiliki sebuah kedai berhampiran makam tersebut.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bandar Chiku pula menceritakan kenangan bersama Almarhum Sultan Ismail Petra.
Menurut Che Amat Said, 55, kenangan paling berharga ialah semasa beliau menerima Pingat Bakti daripada Almarhum pada 2006.
"Sebelum ini, saya tidak pernah berpeluang masuk ke istana, namun apabila nama dicalonkan sebagai penerima, saya sangat teruja.
"Saya berpeluang melihat Almarhum dengan lebih dekat, malah Almarhum memakaikan pingat itu di dada saya.
"Perasaan bercampur baur kerana bukan semua orang dapat melalui pengalaman dan kenangan seperti itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!