Air percuma: Buat permohonan di pejabat pusat khidmat DUN
SRI SERDANG - Orang ramai yang berpendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah boleh terus ke pejabat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing untuk memohon Skim Pemberian Air Percuma yang ditawarkan kerajaan Selangor.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, orang ramai dinasihatkan agar terus berurusan dengan pejabat DUN bagi memudahkan permohonan dilakukan.
"Jadi saya minta pimpinan masyarakat di peringkat akar umbi agar menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai perkara ini.
"Sebelum ini kita ada buka meja namun ada di antaranya kita tidak terima borang permohonan dan ada juga permohonan tidak lengkap. Jadi saya minta masyarakat yang layak untuk terus datang ke pejabat pusat khidmat DUN di kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika hadir Program Sayangi Bumi Kita 1.0 Seri Serdang Hijau Lestari di Sri Serdang hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, hanya isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah layak menikmati Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac depan.
"Selepas penjajaran semula, bantuan hanya disasarkan kepada golongan memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat. Penjajaran ini perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan.
"Bagi memastikan program ini menepati objektif perlaksanaannya dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri ke arah perbelanjaan yang berkualiti, penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya isi rumah bawah RM4,000 layak nikmati air percuma di Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!