Juruteknik cedera, motosikal rempuh kereta
SHAH ALAM - Seorang juruteknik cedera setelah motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah kereta di Jalan Sungai Besi di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 6.41 petang itu, sebuah kereta jenis Toyota Camry dari negara jiran dipandu seorang jurutera berusia 36 tahun yang dalam perjalanan ke arah ibu negara itu tiba-tiba mengubah laluan dari lorong kiri ke kanan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kereta terbabit.
“Mangsa kemudian melambung dan jatuh di sisi kanan hadapan kereta berkenaan. Penunggang motosikal berusia 28 tahun itu mengalami patah tangan akibat kejadian itu,” katanya melalui kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, lokasi kemalangan adalah laluan lurus dengan lima lorong dan kemalangan berlaku di lorong keempat iaitu laluan masuk ke Terowong SMART.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta tersebut mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan dan dilanggar motosikal yang sedang bergerak terus di lorongnya,” katanya.
Sarifudin berkata, penunggang motosikal terbabit yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Setakat ini, mangsa masih belum membuat laporan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Kemalangan itu sempat dirakam melalui rakaman video ‘dashcam’ sebuah kenderaan dan kemudian tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!