Pengawal peribadi Raja Salman maut ditembak
RIYADH - Pengawal peribadi pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud maut ditembak manakala tujuh termasuk anggota keselamatan cedera dalam insiden pergaduhan di kediaman rakannya menurut pihak berkuasa hari ini.
Saudi Press Agency (SPA) memetik kenyataan jurucakap polis melaporkan Jeneral Abdelaziz al-Fagham yang sering dilihat mengiringi Raja Salman terbunuh ketika insiden pergaduhan di bandar Jeddah semalam.
"Fagham berkunjung ke rumah rakannya di bandar itu apabila seorang kenalan, Mamdouh al-Ali memasuki kediaman tersebut.
"Perbualan antara Fagham dan Ali kemudiannya menjadi tegang. Ali kemudiannya keluar dari rumah itu dan kembali semula sambil membawa senjata api lalu melepaskan tembakan ke arah Fagham yang turut mencederakan dua penghuni lain, amah warga Filipina dan ahli keluarga pemilik kediaman tersebut.
"Ali yang enggan menyerah diri akhirnya maut ditembak manakala lima anggota keselamatan juga cedera dalam insiden berbalas tembakan itu," jelas laporan itu lagi.
Sementara itu, stesen TV, al- Ekhbariya melaporkan insiden itu berpunca daripada perselisihan peribadi namun tidak memberikan butiran lanjut.
Difahamkan, Fagham meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya dan siasatan ke atas kejadian itu telah dilancarkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!