Industri surat khabar makin suram

No Image Caption
A
A
A

Bila kali terakhir anda membeli surat khabar? Hari ini, semalam, minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas atau tak ingat bila.

Itulah persoalan bagi menjawab situasi terkini industri surat khabar di Malaysia yang semakin suram.

Sejak 10 tahun lalu, peralihan daripada media cetak kepada media online menyebabkan penjualan surat khabar di semua syarikat surat khabar perlahan-lahan berkurangan pada kadar 10 peratus setiap tahun.

Cuma sejak lima tahun kebelakangan ini kesannya semakin ketara sehinggakan semua syarikat surat khabar terpaksa melakukan rombakan besar-besaran mengubah corak operasi.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam satu ucaptama baru-baru ini menjelaskan, industri surat khabar kini diibaratkan seperti industri senja dan ia sedang menuju penamatnya.

“Sudah tiada lagi masa depan dalam perniagaan surat khabar. Ia tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya.

Revolusi media massa menyebabkan pembaca kini terarah kepada media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga portal berita yang lebih cepat dan percuma.

Sekiranya berita yang disiarkan di surat khabar merupakan berita yang berlaku semalam, tetapi di media sosial atau portal berita, berita yang disiarkan adalah terkini dan boleh dikemaskini dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Itulah yang sedang berlaku dalam revolusi media massa ketika ini. Pembaca tidak perlu lagi menunggu esok untuk mendapatkan berita tetapi cukup dengan memiliki telefon pintar untuk mendapatkan berita-berita terkini.

Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh pengamal media tradisional. Mahu atau tidak arus perubahan itu perlu diterima.

Revolusi itu juga telah merubah keseluruhan disiplin kewartawanan serta masa depan surat khabar dan media massa.

Sejak kewujudan portal berita, syarikat surat khabar juga sudah mula mewujudkan portal berita sendiri. Ini kerana mereka tahu surat khabar sudah tidak mampu lagi untuk bersaing dengan portal berita.

Revolusi digital bukan sahaja memberi kesan langsung kepada surat khabar, tetapi juga kepada stesen-stesen televisyen.

Kewujudan Facebook dan juga YouTube menyebabkan penonton kurang menonton televisyen, sebaliknya beralih kepada media sosial yang dapat ditonton di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Hampir gulung tikar

Berbalik kepada industri surat khabar, rombakan operasi yang dilakukan oleh mana-mana syarikat melibatkan semua peringkat secara besar-besaran.

Pengecilan dan penutupan jabatan yang tidak relevan turut dilakukan. Bahkan ada sesetengah syarikat terpaksa menutup kilang cetak akibat jualan akhbar dan iklan tidak mampu menampung kos percetakan.

Akhbar Malay Mail, misalnya, mengambil keputusan menutup edisi cetaknya pada 1 Disember 2018 dan beralih sepenuhnya kepada edisi digital sehari selepas itu.

Malah syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang mengeluarkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo pada bulan lalu hampir sahaja menutup edisi cetak akibat mengalami masalah kewangan yang kritikal.

Mujurlah mereka menerima bantuan pada saat akhir menyebabkan akhbar itu masih mampu bertahan hingga ke hari ini.

Selain dua akhbar itu, semua syarikat akhbar juga mengalami masalah yang sama. Cuma cara pengendalian operasi yang berbeza menyebabkan yang lain masih bertahan. Tetapi sampai bila boleh bertahan?

Selain pengecilan operasi, paling menyedihkan adalah pemberhentian pekerja yang terpaksa dilakukan bagi mengimbangi kos operasi yang semakin mengecil.

Menurut Tan Sri Johan Jaaffar, dalam tempoh dua tahun lalu, lebih kurang 3,000 pekerja berkaitan media kehilangan pekerjaan.

Sudah semestinya tiada siapa pun mahu hal ini berlaku tetapi akibat tekanan perubahan media baharu menyebabkan surat khabar sudah tidak lagi mampu bertahan.

Bagi mereka yang sudah berhenti ia bukannya penamat tetapi satu kehidupan baharu yang siapa tahu mungkin lebih baik daripada yang ada kini.

Apa pun industri surat khabar sudah sampai ke zaman penghujungnya. Kini digital telah mengambil alih sepenuhnya fungsi dan tugas surat khabar sebagai medium untuk menyebarkan berita kepada umum.

* Zulkhairil Zainuddin ialah Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!