Tiada cadangan turun harga minyak masak bersubsidi
Beliau berkata walaupun subsidi yang ditampung kerajaan kini semakin 'menipis' ekoran kejatuhan harga minyak sawit, ia tidak sampai ke tahap untuk kerajaan menurunkan harga minyak masak di pasaran.
"Sebelum ini kerajaan memberi subsidi enam puluh sen bagi setiap pek satu kilogram minyak masak, sekaligus membolehkan ia dijual pada harga RM2.50 sekilogram.
"Walaupun garis subsidi kerajaan kini bukan lagi enam puluh sen tetapi buat masa sekarang, kerajaan tiada pertimbangan untuk turunkan harga minyak sawit bersubsidi itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan modul Etika Perniagaan Malaysia (EPM) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menurunkan harga minyak masak bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit.
Mohamad dipetik sebagai berkata ini kerana harga minyak sawit bulan Disember hanya RM1,775 satu tan iaitu hampir 50 peratus lebih rendah berbanding harga akhir tahun 2016, di mana ketika itu kerajaan Barisan Nasional terpaksa menghadkan subsidi minyak masak kepada pek satu kilogram berharga RM2.50 sahaja kerana harga minyak sawit naik di sekitar RM3,000 satu tan.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta tahun ini bagi menampung subsidi 60 sen untuk setiap pek satu kilogram minyak masak.
"RM700 juta satu jumlah yang terlalu besar, maka saya tidak fikir itu adalah langkah penyelesaian yang praktikal dalam keadaan sekarang," katanya.
Saifuddin Nasution berkata harga minyak masak di pasaran tempatan, khususnya yang bukan disubsidi kerajaan turut mengalami penurunan harga ekoran harga pasaran semasa komoditi sawit.
"Secara amnya, harga minyak masak di luar subsidi yang bergantung kepada bekalan dan permintaan memang mengalami penurunan, cuma berbeza mengikut jenama serta kualiti pemprosesan bahan masak itu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!