PBB hilang fungsi jika kuasa veto masih ada

Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad
A
A
A

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York mencadangkan agar kuasa veto (pembatal) diubah suai jika pun ia tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya agar fungsi sebenar PBB dapat dikembalikan.

Dr Mahathir juga mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggotanya yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa itu berkurangan.

Sejak kewujudannya pada 1946, kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, China dan Rusia kerap kali dilihat disalahgunakan terutamanya apabila sesuatu resolusi yang dibawa dalam mesyuarat PBB mengancam kedudukan atau kepentingan mereka dan sekutu mereka.

Sepanjang tempoh ia wujud hingga 2015, Rusia dilihat paling banyak menggunakan kuasa veto iaitu 103 kali dan diikuti AS (79), Britain (26), Perancis (16) dan China (9).

Bayangkan apabila satu-satu resolusi ingin dikemukakan menyentuh isu krisis kemanusiaan tetapi kemudiannya kuasa veto digunakan, apakah akan jadi dengan krisis itu.

Dalam isu Palestin, misalnya, AS sudah banyak kali menggunakan kuasa veto bagi melindungi sekutu rapatnya, Israel, daripada menerima tekanan PBB.

Terbaharu AS menggunakan kuasa vetonya adalah pada 18 Disember 2017 untuk menggagalkan sebuah rancangan resolusi PBB yang mendesak badan dunia itu supaya menolak keputusan Persiden AS, Donald Trump mengiktiraf Jerusalem (Baitulmuqaddis) sebagai ibu kota Israel.

Jika dilihat dari aspek demokrasinya, penggunaan kuasa veto ini seolah-olah menafikan hak 200 lagi negara anggota PBB.

Artikel Berkaitan:

Kini sudah tiba masanya seluruh negara anggota perlu menunjukkan ketegasan agar kuasa veto itu dihapuskan atau diubah suai.

Seperti yang Dr Mahathir tegaskan bahawa sebenarnya kuasa veto adalah bertentangan dengan semua prinsip hak asasi manusia yang negara-negara itu sendiri yang mendakwa memperjuangkannya.

Fungsi utama PBB perlu dikembalikan. Kuasa veto perlu dihapuskan dan jika gagal maka PBB dilihat seolah-olah menjadi boneka kepada pihak-pihak tertentu untuk menakluk dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!