Sakit jadi pendorong tanam sayur bebas kimia
KUANTAN - Nasihat dan saranan doktor supaya tidak makan sayur-sayuran tercemar dengan bahan kimia selepas mendapat rawatan ketumbuhan dalam perut tahun lalu menjadi pendorong kepada seorang suri rumah untuk mengusahakan tanaman sayuran di kawasan rumah sewanya.
Siti Radhiah Razuan, 31, yang tinggal di Taman Seri Mualana berkata, dia kini mengusahakan tanaman sayuran organik dengan bantuan suami, Mohd Zamri Ab Rahman, 31, yang turut berminat dalam bidang pertanian.
"Mula-mula, saya tanam sayuran jenis daun, ubi untuk kegunaan sendiri dan tak sangka pula mendapat permintaan masyarakat setempat dan luar daerah ini.
"Kini, saya tanam sebanyak 39 jenis sayuran secara bergilir menggunakan kaedah tradisional dan bebas daripada bahan kimia. Saya guna 100 peratus baja organik dihasilkan daripada najis haiwan dan sisa tanaman," katanya ketika ditemui di rumah di Taman Seri Maulana semalam.
Dia yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang berkata, selepas lebih lima bulan mengusahakan projek pertanian bandar, kejayaan dicapai boleh dibanggakan apabila mampu memberi hasil memuaskan setiap minggu.
Jelasnya, sokongan daripada suami yang acap kali meluangkan masa menambahkan lagi semangat untuk terus bercucuk tanam.
Siti Radhiah berkata, ia bukan untuk kegunaan sendiri sahaja, sebaliknya boleh menambah pendapatan keluarga.
"Saya mampu meraih pendapatan hingga RM500 sebulan hasil jualan pelbagai jenis sayur dan produk lain. Di samping itu, saya juga berkongsi kemahiran dengan mereka yang ingin mengusahakan pertanian bandar," katanya.
Ibu kepada seorang anak ini berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, dia turut menjual anak pokok, biji benih, baja dan pembasmi serangga berharga antara RM5 hingga RM18.
Ditanya bagaimana dia mengawal serangga perosak, Siti Radhiah berkata, dia menghasilkan sejenis pembasmi serangga daripada bawang putih dan beberapa campuran lain.
Katanya, haiwan seperti belalang dan ulat hijau yang makan daun akan berkurangan bila menggunakan bahan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!