Penutupan Uniten kampus Muadzam Shah langkah terkebelakang
KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Rompin menyifatkan keputusan menutup Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Muadzam Shah bermula Jun tahun depan sebagai langkah terkebelakang dalam tradisi ilmu.
Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, Uniten sepatutnya berkembang maju menjadi sebuah universiti yang berprestij bagi mengembangkan tradisi ilmu dan bukan sebaliknya.
Menurutnya, KSHAS sudah melahirkan ramai graduan dan mereka telah menjadi sebahagian tenaga penting negara di dalam pelbagai industri.
“PH Rompin berpandangan penutupan kampus universiti berkenaan oleh pihak pentadbiran tidak wajar sama sekali dan merugikan penduduk Rompin secara keseluruhannya.
“Kita perlu lihat dengan kewujudan kampus Uniten di sini (Muadzam Shah) pada 2001 telah memberi nafas baharu terhadap kemajuan Muadzam Shah dan daerah Rompin secara keseluruhannya," katanya melalui satu kenyataan.
Mohd Fadzli berkata, kemajuan bandar Muadzam Shah dan kerancakan aktiviti ekonomi penduduknya turut dipacu warga universiti kampus itu sekian lama.
“Justeru PH Rompin merasakan inilah masanya daerah Rompin dibangunkan secara lebih holistik dan mampan dengan menambah sebanyak mungkin institusi pendidikan tinggi dan bukan mengurangkannya.
“Kami berpegang teguh bahawa KSHAS ini mestilah diteruskan kerana ia adalah tanggungjawab sosial Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam bidang pendidikan dan membantu menaikkan ekonomi masyarakat setempat serta negeri," katanya.
Semalam, Uniten mengesahkan akan melaksanakan Operasi Kampus Berpusat menerusi penggabungan KSHAS di Muadzam Shah, Rompin dengan Kampus Putrajaya tahun depan.
Melalui kenyataan Pejabat Naib Canselor Uniten, pelaksanaan operasi baharu itu bakal menyaksikan kedua-dua kampus terbabit disatukan sebagai satu entiti di Putrajaya selepas Lembaga Pengarah Uniten yang bersidang pada 24 September lalu meluluskan inisiatif 'Reimagining Uniten' dan memberi mandat kepada pengurusan Uniten untuk melaksanakan Operasi Kampus Berpusat.
Pelaksanaan Operasi Kampus Berpusat dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun 2020.
Menerusi kenyataan sama, pengurusan Uniten turut memberi jaminan akan memastikan Operasi Kampus Berpusat berjalan dengan lancar dan mengambil kira kepentingan serta kebajikan pelajar, warga kerja dan pihak berkepentingan dalam perkara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah gabung kampus Rompin, Putrajaya tahun depan
GPMS bantah penutupan Uniten Kampus Muadzam Shah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!