107 pengedar ditahan, dadah bernilai RM56,684 dirampas

Mohd Khalil menunjukkan antara motosikal yang disita.
Mohd Khalil menunjukkan antara motosikal yang disita.
A
A
A

SEREMBAN - Polis berjaya menahan 107 tokan dadah dalam Ops Damn Tokan di sekitar Negeri Sembilan bermula 27 hingga 29 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya juga turut merampas beberapa jenis dadah bernilai RM56,684.

Katanya, dalam operasi berkenaan pihaknya berjaya memutuskan bekalan dadah kepada penagih dengan mensasarkan tokan kecil-kecilan.

“Operasi yang dijalankan oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Negeri Sembilan berjaya menahan sekumpulan individu berusia antara 20 hingga 50 tahun yang disyaki pengedar dadah secara kecil-kecilan.

“Pelbagai jenis dadah dirampas dengan berat keseluruhan 121.91 kilogram dan dianggarkan bernilai RM56,684, selain itu polis turut menyita beberapa barang kemas, wang tunai dan kenderaan dengan nilai anggaran RM162,949,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohd Khalil (tiga dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media hari ini.
Mohd Khalil (tiga dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media hari ini.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Pengarah Narkotik (Operasi/Risikan) JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali; Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Ketua JSJN negeri, Superintenden Pang Jin Lai.

Mohd Khalil berkata, sejak Januari lalu hingga 26 September lalu, JSJN telah menahan seramai 6,367 orang di negeri ini atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas dadah seberat 7 kg bernilai RM331,741.

"JSJN akan terus komited menentang jenayah dadah sama ada di peringkat rangkaian bekalan nasional dan antarabangsa atau penjualan runcit secara kecil-kecilan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjualan dan pembelian dadah diminta melaporkan ke balai polis berdekatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!