Zukri ke TH: Hanya jauhari mengenal manikam
KETIKA mendengar Datuk Seri Zukri Samat menerajui Tabung Haji (TH), perasaan saya agak terkejut berbaur gembira.
Timbul desakan ingin tahu tentang apa yang menarik beliau keluar dari dunia persaraan, setelah menyatakan mahu menghabiskan banyak masa untuk diri sendiri dan juga keluarga.
Zukri, anak kelahiran Besut, Terengganu yang dibesarkan di Kelantan sebelum ini juga pernah menceritakan tentang hasrat untuk lebih berperanan sebagai ‘tok siak’ dalam kariahnya kerana banyak masa yang terluang.
Sementelah pula, beliau sering diusik teman-teman kariah sebagai ‘orang luar’ kerana jarang dapat bersama akibat sibuk dengan tugas.
Beliau sebenar-benarnya sudah lama mahu bersara setelah menghabiskan lebih 30 tahun berkhidmat di bank-bank dan institusi kewangan termasuk di Commerce International Merchant Bankers dan Public Bank.
Bagi Zukri, selepas lebih sedekad menerajui Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), bank patuh Syariah tertua di Malaysia, beliau tidak lagi betah untuk kekal dalam industri perbankan yang terlalu pantas berkembang dan mencabar usianya.
Ditanya kenapa kembali bekerja?
Zukri yang saya temui dalam majlis makan malam dengannya baru-baru ini berkata: “Saya diberikan surat supaya memulakan tugas di Tabung Haji yang kini ibarat sebuah ‘kapal yang hampir tenggelam’ kerana masalah kewangan.”
Tambah beliau, terlalu sukar menolak arahan kerana surat itu diserahkan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Arahan Perdana Menteri ialah supaya Zukri membantu memulihkan sebuah organisasi yang amat penting bagi umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji.
“Akhir tahun ini, saya akan terima gaji untuk tempoh enam bulan dan saya sendiri tidak tahu (gaji) apa yang ditawarkan (untuk tugas ini),” kata Zukri ketika membayangkan bahawa tindakan untuk kembali bekerja bukan beliau rancang.
“Saya hanya diberikan surat untuk memulakan tugas di TH,” tambah beliau.
Mengenali beliau, pastinya para pendeposit seperti saya akan gembira dan lebih yakin dengan pelantikan Zukri kerana kewibawaannya jelas terserlah dalam tugasan sebelum ini.
Masakan tidak! Beliau adalah orang yang berjaya memulihkan kembali Bank Islam yang secara teknikalnya juga bankrap seperti mana status semasa Tabung Haji.
Sehubungan itu, Zukri ketawa besar apabila dirinya dipanggil sebagai ‘Mr. Fixer’ atau bertindak sebagai IWK (singkatan Indah Water Konsortium, sebuah syarikat rawatan kumbahan) untuk membersihkan segala kekotoran yang dilakukan pihak lain.
Malah, beliau mengaitkan istilah IWK tentang peristiwa dirinya menjadi ‘penjual’ tisu tandas ketika berkhidmat di sebuah bank tempatan milik bukan Islam.
Menurut Zukri, beliau adalah satu-satu pegawai Melayu ketika itu dan bank berkenaan sangat berkira tentang setiap sen yang diperoleh dan dibelanjakan.
Setiap petugas bukan sewenang-wenangnya boleh menggunakan telefon pejabat yang satu-satunya ada di atas di meja ketuanya, bahkan mereka diperuntukkan segulung kertas tisu tandas untuk kegunaan peribadi.
Zukri sambil ketawa berkata, oleh sebab tiada keperluan menggunanya, tisu tandas dijual kepada para petugas lain yang berhajat, sekali gus menjadikan diri beliau tumpuan di bank berkenaan.
Biar apapun gelaran yang diberikan, sememangnya beliau disegani kawan dan lawan kerana keupayaannya memulihkan kembali entiti yang bermasalah.
Ketika dibawa masuk untuk memulihkan Bank Islam pada 9 Jun 2006, Zukri berjaya mengukuhkan kembali bank berkenaan, bahkan ketika mahu bersara, pihak pengurusan terpaksa mencari pengganti sehebat beliau.
Pada masa sama, Bank Islam itu juga berjaya menjadi penanda aras dalam industri berkenaan.
Hasil tangan Zukri dan pasukan pengurusannya membolehkan Bank Islam yang hampir muflis akibat salah urus, mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM237 juta pada tahun 2007.
Bank Islam juga meraih rekod keuntungan sebanyak RM600 juta, paras tertinggi dalam sejarahnya bagi tempoh 12 berakhir pada 31 Disember 2012 dan terus mengekalkan kecemerlangan sehingga kini.
Tidak menghairankan jika pengalaman sewaktu di Bank Islam dan Danaharta menjadikan beliau dipilih untuk merencana pemulihan Tabung Haji.
Zukri merupakan bekas Pengarah Urusan, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta), sebuah syarikat pengurusan aset negara yang berjaya mengukuhkan industri perbankan negara ketika berlakunya krisis kewangan pada tahun 1997/1998.
Danaharta terlibat dalam memulihkan operasi bank-bank tempatan yang dihantui oleh kemelut hutang lapuk (NPL) yang gagal dibayar balik dengan mengambil alih pengurusan aset bermasalah supaya entiti-entiti berkenaan mampu kembali berada di landasan yang kukuh dan kembali untung.
Bahkan kejayaan syarikat pengurusan aset itu turut dikagumi pihak luar yang asalnya tidak percaya bahawa Malaysia mempunyai tokoh-tokoh yang berkeupayaan memulihkan sistem kewangan negara menggunakan kaedahnya yang tersendiri.
Bersandarkan rekod pencapaian yang ada, kesediaan Zukri menerajui TH seharusnya disokong kerana beliau ibarat ‘Hanya Jauhari Sahaja Yang Mengenal Manikam’ dalam mengembalikan kecemerlangan sebuah organisasi penting umat Islam.
Benar, hanya mereka yang arif dan pakar saja yang mengetahui akan pekerjaan yang mereka lakukan dalam bidang masing-masing.
Semoga Zukri dapat melakukan pengorbanan Fisabillah ini demi agama dan negara tercinta.
**Mowardi Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia selama 24 tahun. Pernah memegang jawatan Pengarang Kanan Luar Negara, Suplemen dan Pengarang Ekonomi. Sebelum itu, beliau adalah wartawan Ekonomi di Bernama.Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!