Inkues: Balu Mejar Zahir serah kepada TDM, keluarga suami

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mualamat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (dua dari kiri) mendukung Izzul Zakly yang merupakan anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selepas menyampaikan sumbangan cek bernilai RM15,000 kepada balu Allahyarham Nour Shafinar Harun (tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bank Mualamat Malaysia Berhad di Kem Wardieburn hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mualamat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (dua dari kiri) mendukung Izzul Zakly yang merupakan anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selepas menyampaikan sumbangan cek bernilai RM15,000 kepada balu Allahyarham Nour Shafinar Harun (tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bank Mualamat Malaysia Berhad di Kem Wardieburn hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya reda terima sebarang keputusan inkues, sekiranya ia dijalankan Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kematian arwah suaminya.

Nour Shafinar Harun, 36, berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima keputusan sekiranya Lembaga Siasatan TDM dan keluarga suaminya ingin membuat proses inkues.

“Saya serahkan segala-galanya tentang apa yang ingin dilakukan (termasuk proses inkues). Ini disebabkan (saya) memahami apa yang telah terjadi di samping menerima risiko sebagai anggota tentera dalam apa juga situasi termasuk latihan.

“Apa yang berlaku, itu sudah takdir dan saya percaya kejadian tersebut adalah tidak disengajakan.

“Lagipun, tidak mungkin sahabat Allahyarham sendiri ingin menembaknya, walhal setiap latihan ada risikonya termasuk penggunaan peluru hidup,” katanya selepas hadir bagi menerima sumbangan dari Bank Muamalat di Kem Wardieburn, Setapak, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan pihak bank terhadap insiden yang menimpa Allahyarham dan keluarga.

“Bank Muamalat menyampaikan sumbangan RM15,000 sebagai tanda menghargai pengorbanan anggota tentera terhadap negara dan juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat institusi kewangan itu bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Pada Khamis lalu, Lembaga Siasatan TDM mengklasifikasikan kematian Allahyarham Mejar Mohd Zahir ketika dalam latihan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 2 September lepas sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

Artikel Berkaitan:

Anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas itu terkena tembakan jarak dekat semasa demonstrasi itu dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Balu Mejar Zahir enggan siasatan kes dibuka semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!