'Nga Kor Ming Super Fans Page' akaun palsu: Kor Ming

Kor Ming menegaskan hantaran berkenaan dibuat menerusi satu akaun palsu.
Kor Ming menegaskan hantaran berkenaan dibuat menerusi satu akaun palsu.
A
A
A

IPOH - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor sepertimana dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, akaun menggunakan nama 'Nga Kor Ming Super Fans Page' itu merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.

"Setelah cuba dibuat carian atas talian didapati bahawa posting yang dirujuk oleh Najib itu sebenarnya adalah dari satu page bernama 'Ju Xi Wan Yak' (dalam bahasa Mandarin).

"Ia langsung tiada apa-apa kaitan dengan saya mahupun DAP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bekas Perdana Menteri itu menggunakan hantaran akaun palsu untuk cuba merosakkan nama baik serta menghasut rakyat membenci dirinya dan parti.

"Terbukti Najib telah menipu sekali lagi, beliau wajar meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, tindakan itu juga dilihat seolah-olah sudah ketandusan idea apabila hanya taksub menabur fitnah.

Artikel Berkaitan:

Status yang dimuat naik Najib dalam laman Facebook, pagi tadi.
Status yang dimuat naik Najib dalam laman Facebook, pagi tadi.

"Saya nasihatkan Datuk Seri Najib supaya bertaubat segera dan kembali ke pangkuan jalan jika masih belum terlambat.

"Jangan lagi cuba menggunakan taktik kotor berulang kali untuk mencemar reputasi baik saya parti DAP," katanya.

Najib menerusi perkongsian di Facebook pagi tadi menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu kerana mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor.

Ia susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di Selangor.

Seakan dapat membaca kenyataan bakal dibuat Kor Ming, Najib kemudiannya memuat naik status bahawa page dengan 600,000 pengikut itu sudah pasti akan dinafikan.

Jelasnya, pada 2016 lalu, beliau pernah mengeluarkan saman mengenai status memfitnah di akaun yang sama dan Ahli Parlimen Teluk Intan itu meminta maaf di mahkamah.

"Sama ada Nga Kor Ming dan DAP terlibat, biar polis siasat jika kerajaan di bawah PH ini masih ada maruah untuk mempertahankan Rukun Negara dan undang-undang kita," tulis Najib.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!