Remaja, wanita jadi 'tonto' bantu penyeludup
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mendedahkan golongan remaja dan wanita dikesan menjadi 'tonto' dengan bertindak menyalurkan setiap inci maklumat berkaitan pergerakan anggota penguat kuasa.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, penyaluran maklumat tersebut bagi 'melancarkan' pergerakan penyeludup dan menggagalkan usaha pihak berkuasa mengesan kegiatan haram berkenaan.
"Ini merupakan modus operandi terbaharu digunakan oleh kumpulan penyeludup untuk memantau pergerakan anggota penguat kuasa.
"Kumpulan itu (remaja dan wanita) akan melaporkan terus sekiranya melihat kelibat anggota penguat kuasa di sesuatu kawasan dan kemudian diberikan upah setiap maklumat yang disalurkan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA, Lubok Stol di sini hari ini.
Katanya, sehingga kini lebih 300 golongan remaja dan wanita terlibat dalam aktiviti tonto dan dikesan begitu aktif di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat dengan menggunakan laluan sekolah dan waktu pelajar pulang untuk melakukan kegiatan haram terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!