Pesta ala puteri raja sambut tahun baharu
Dalam serbuan jam 11.45 malam di sebuah restoran, di sini, seramai 37 individu termasuk 35 pelayan wanita warga asing dari Indonesia, China dan Vietnam berusia antara 20 hingga 40-an ditahan polis.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, polis yang mendapat maklumat berkaitan kegiatan ini menyerbu sebuah premis makanan di No 27 & 28,Lot 887 Pekan Cheras Batu 11 dan mendapati ia menawarkan khidmat pelayan wanita dan hiburan melampau sebagai tarikan pelanggan.
Menurutnya, pelayan wanita akan membuat persembahan 'catwalk' di atas pentas dan pelanggan dikenakan bayaran tertentu jika mahu menggunakan khidmat wanita pelayan itu.
“Untuk memberi hadiah kalungan bunga kepada pelayan wanita, pelanggan perlu membayar RM10 ke RM50 manakala untuk memakaikan mahkota pelanggan perlu membayar RM150 dan bayaran RM300 ke RM350 dikenakan jika mahu memakaikan jubah ala-ala puteri.
“Setiap bayaran yang diterima kemudian akan dibahagi dua, 70 peratus kepada pelayan wanita dan 30 peratus lagi kepada tauke atau pengusaha kedai itu,” katanya kepada media, hari ini.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan siasatan awal polis, kegiatan ini telah aktif sejak lebih kurang dua tahun lalu dan polis juga mendapati ia tidak menawarkan sebarang kegiatan seks.
“Dalam serbuan ini, polis juga merampas beberapa barangan antaranya pembesar suara, pemain DVD, tiga kalungan bunga, wang tunai, baju dan mikrofon.
“Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen, Seksyen 39b Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Selangor.
“Tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khaizam juga memaklumkan pasukannya telah menahan seorang lelaki warga tempatan dalam satu serbuan berasingan malam tadi.
Menurutnya, serbuan dilakukan di sebuah premis di Mentari Busines Park, Petaling Jaya pada jam 2.30 pagi.
“Premis tersebut mempunyai lesen operasi yang sah walau bagaimanapun didapati beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan.
“Tiada rampasan barang dilakukan dan suspek disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Selangor dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Serbuan dilakukan sepasukan polis D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!