'Bola sepak buat saya awet muda'
PADA usia mencecah 36 tahun, kepantasan Frank Ribery masih menjadi mimpi ngeri buat barisan pemain pertahanan lawan apabila dia cemerlang membantu Fiorentina menewaskan AC Milan 3-1 awal pagi tadi.
Pada aksi di San Siro itu, Ribery menjaringkan satu gol dan berupaya memberikan masalah kepada pertahanan Milan sehingga Mateo Musacchio dibuang padang pada minit ke-55 kerana menghalang gerakan pantas pemain kelahiran Perancis itu.
Sambil menyifatkan umurnya hanya sekadar angka, bekas tonggak Bayern Munich itu mengakui bola sepak telah menjadikannya 'awet muda'.
"Saya cukup selesa bermain hari ini. Ia satu perasaan yang sangat luar biasa untuk bermain di San Siro dengan stadium yang besar dan penonton yang ramai.
"Ya, saya sudah tua tetapi saya rasa muda di atas padang. Bola sepak adalah hidup saya dan saya masih dahagakan kemenangan. Sebab itu saya datang ke Fiorentina.
"Pada masa sama, saya juga bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Milan ketika ini. Mereka sepatutnya menjadi sebuah pasukan yang digeruni," katanya.
Ketika digantikan dengan Rachid Ghezzal pada minit ke-89, bukan hanya penyokong Fiorentina, malah peminat Milan turut memberikan tepukan kepada Ribery sebaik dia keluar meninggalkan padang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!