Karakter sebenar Gergasi Merah

Barisan pemain Selangor meraikan gol pertama jaringan Syazwan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
Barisan pemain Selangor meraikan gol pertama jaringan Syazwan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

"Kami tak bungkus, tidak seperti yang diperkatakan oleh paper (akhbar)."

Itu reaksi pengendali Selangor, B Sathianathan setelah anak-anak buahnya berjaya menjinakkan Perak 3-1 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan The Reds Giants mengesahkan slot ke separuh akhir dengan agregat 3-2, sekali gus menyangkal ramalan sesetengah pihak termasuk media yang menjangkakan Selangor bakal tersingkir setelah Perak memiliki kelebihan satu gol sebelum bertandang ke Shah Alam.

Sathianathan menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerja keras setiap pemain yang telah menunjukkan karakter terbaik mereka selain persiapan rapi menjelang pertemuan tersebut.

“Seperti yang saya katakan di Ipoh sebelum ini, biar penyokong datang (ke stadium) dan para pemain kami bersedia menunjukkan bahawa mereka mahu beraksi dengan penuh tenaga dan inilah kemenangan kita.

"Kami berhadapan dengan pasukan yang kuat, namun kami sudah bersedia dengan sebaiknya. 1-0 (kemenangan Perak di Ipoh) tiada apa-apa. Pemain-pemain saya telah memaparkan perwatakan yang besar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beraksi di gelanggang keramat mereka sendiri, Selangor yang tampil selaku juara 33 kali Piala Malaysia memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-33 selepas merembat masuk bola berpunca daripada sepakan sudut Endrick Dos Santos.

Bekas penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri muncul wira Gergasi Merah apabila menyumbat dua lagi gol masing-masing pada minit ke-45 dan 67.

Artikel Berkaitan:

Brendan Gan kembali membangkitkan semangat Perak apabila meledak gol pada minit ke-83, namun jaringan itu sudah terlewat buat The Bos Gaurus untuk menafikan hajat Selangor ke peringkat separuh akhir.

“Kita berjaya meraih tiga gol, dua daripadanya menerusi Khyril Muhymeen, pemain yang sebelum ini tiada siapapun mahu memberi dia peluang untuk bermain.

“Selepas kami mendapat gol ketiga, para pemain saya agak panik apabila Perak kembali memberikan ancaman menerusi bola mati, namun mereka mengendalikan situasi itu dengan sangat baik,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sathianathan menyatakan bahawa Selangor sudah membuktikan bahawa mereka kini berada di landasan yang tepat dengan menunjukkan banyak perubahan positif berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pada awalnya tiada siapa yang meletakkan harapan untuk Selangor berada di kedudukan tiga teratas dalam saingan Liga Super yang mana ramai tidak tahu bahawa aksi liga adalah yang paling sukar.

“Piala FA adalah nasib, sangat bergantung kepada nasib manakala Piala Malaysia pula bermula daripada sistem liga kemudian ke peringkat peringkat kalah mati dan ia bukan sesuatu yang mudah,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!