Tiada tempoh tertentu bagi jawatan PM

Saifuddin (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Sebahagian guru-guru dan pelajar pada Majlis Pemusatan Tingkatan 6 Mod 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Astana, di sini, hari ini.
Saifuddin (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Sebahagian guru-guru dan pelajar pada Majlis Pemusatan Tingkatan 6 Mod 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Astana, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Parti Komponen PH tidak pernah membincang dan menetapkan tempoh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mesyuarat Majlis Presiden PH belum memutuskan tempoh tertentu bagi peralihan jawatan tersebut.

Menurutnya, ini kerana pihaknya yakin mereka saling memahami yang merupakan dua individu yang berjiwa besar dan menyerahkan keputusan tempoh tersebut kepada mereka.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dan tidak ada tempoh ditetapkan untuk Tun (Dr Mahathir) menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar.

"Biarlah mereka sahaja yang putuskan tempoh bila yang terbaik bagi melakukan peralihan jawatan itu," katanya.

Menjawab desas-desus mengenai peralihan kuasa akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga tahun, Safuddin mengulangi, ia masih belum diputuskan.

“PH cuma ada buat keputusan dan perjanjian bahawa perdana menteri seterusnya ialah Datuk Seri Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pemusatan Tingkatan 6 Mod 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Astana, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Saifuddin mengulas kenyataan beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa terdapat cubaan untuk menggagalkan persetujuan yang dibuat antara pucuk pimpinan parti komponen dalam PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dakwaan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan memandangkan sudah dipersetujui semua parti komponen PH sebelum PRU14 lalu.

"Bagi tahun 2019 ini, kerajaan PH menumpukan kepada usaha meningkatkan ekonomi dan kerja lain, seperti membangunkan negara dan lebih penting menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat.

"Tidak perlulah kita terus menyalahkan kerajaan BN, tetapi kita harus bina politik baharu dalam melaksanakan keperluan rakyat berasaskan masyarakat berbilang bangsa di samping mengamalkan Islam yang progresif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!