MB akui gejala sosial semakin meruncing

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengakui gejala sosial yang wujud masa kini semakin meruncing dan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Justeru beliau menggesa masyarakat lebih agresif membantu pihak berkuasa dalam usaha mengekang penularan gejala sosial di kawasan komuniti.

Menurutnya, kerjasama masyarakat dalam menjadi mata dan telinga pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) penting bertepatan dengan hasrat menjadikan neegeri ini sebagai ‘safe community’.

“Masyarakat harus sedar isu gejala sosial kini semakin meruncing, malah meningkat dari semasa ke semasa. Usaha murni mencegah gejala ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat, selain perlu bersama menerapkan elemen baik serta menjauhi perkara tidak baik.

“Besar harapan saya supaya kerjasama berterusan ini dapat realisasi hasrat kerajaan negeri kurangkan kadar masalah sosial dan jenayah,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Menangani Gejala Sosial : Smart Selangor, Safe Community Sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Hampir 2,000 pengunjung hadir menjayakan program yang turut diisi dengan program selawat dipimpin Pentadbir Utama Darul Murtadza, Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Amirudin berkata, program itu bertujuan memupuk budaya hidup komuniti melalui penerapan nilai-nilai murni dan peduli terhadap masalah sosial serta jenayah yang berlaku.

“Ia juga bagi melahirkan generasi dan masyarakat cemerlang serta berdaya saing, sekali gus menjadi aset berkualiti kepada negeri juga negara, selaras menghadapi era globalisasi masa kini yang semakin mencabar.

“Program ini juga dijadikan medium untuk membawa komuniti warga Selangor hadir bersama menyambut ambang 2019 dengan aktiviti yang lebih bermanfaat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!