Kerajaan, ringankan beban pesawah
PANORAMA hijau sawah padi terbentang luas mempesonakan dan mendamaikan pemandangan mata. Hamparan pokok padi hijau tumbuh sama rata pastinya memberikan pengalaman terindah penuh makna.
Sepanjang menyusuri jalan sawah sekitar kawasan Sabak Bernam yang terkenal sebagai Jelapang Padi Selangor, kelihatan pesawah turun ke bendang masing-masing membanting tulang empat kerat mencari rezeki buat keluarga tersayang.
Biarpun di tengah panas terik matahari, pesawah yang rata-ratanya berusia 50-an tidak sesekali mengeluh dan jemu malah terus gigih bekerja demi kelangsungan hidup.
Namun di sebalik itu, golongan terbabit terutama yang mempunyai petak sawah kecil masih dilingkari kemiskinan apatah lagi apabila padi ditanam diserang penyakit selain terpaksa menanggung kos pengeluaran tinggi setiap tahun.
Bayangkan, mereka terpaksa membayar sewa jentera, mengupah pekerja dan membeli benih padi, baja serta racun sehingga ada ketika mereka terpaksa menanggung kerugian besar.
Pesawah ketika ini berdepan tekanan berikutan pelbagai kemudahan dan insentif yang dinikmati sebelum ini dipotong kerajaan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub juga menitiskan air mata ketika membaca surat diserahkan seorang pesawah pada Majlis Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Serdang pada 14 Februari lalu.
Surat itu yang diserahkan oleh wakil petani daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar, Ibas Hamud, 77, antara lain meluahkan kebimbangan dan kegusaran pesawah dan nelayan dengan pemotongan elaun sara diri kumpulan berkenaan.
Salahuddin dalam ucapan pada majlis itu berkata, walaupun surat itu hanyalah gimik pelancaran tetapi isi kandungan adalah luahan sebenar petani dan nelayan.
“Selagi nyawa dikandung badan dan saya diberi amanah menerajui kementerian ini, saya akan membela nasib warga petani, nelayan dan penternak ini,” katanya.
Luahan itu tidak terhenti setakat itu sahaja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman menyifatkan pengeluaran hasil padi yang merosot teruk dianggap umpama lakonan dalam salah satu babak filem Nujum Pak Belalang suatu ketika dahulu.
“Nujum, ADUN Sabak ada satu teka-teki apakah maksud tiga banyak, lima sedikit, tujuh jarang-jarang dan sembilan kadang-kadang? Jawapannya ialah hasil pengeluaran padi yang merosot teruk pada musim tanaman kali ini,” katanya.
Justeru, tegas beliau, kerajaan diminta menghargai pesawah yang membanting tulang dan mengerah keringat di bendang bagi menjamin bekalan beras negara mencukupi.
“Sekiranya ada pesawah tertindas, ajak saya sekali membantah kerana suara saya sahaja tak didengari, sebaliknya kalau suara saya dan pesawah bergandingan mereka (kerajaan) tahu bahawa suara ini penting bagi menjamin bekalan beras berterusan,” katanya.
Pada 11 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggalakkan pesawah memperuntukkan sebahagian tanah mereka untuk tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan.
“Umpamanya, tanaman kontan yang boleh dituai tiga atau empat kali setahun, yang memberi pulangan lebih baik berbanding padi,” katanya.
Keperitan golongan pesawah turut mendapat perhatian Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah apabila baginda berkenan merasai sendiri pengalaman menanam padi menggunakan kaedah tradisional dan moden di Parit 14 Simpang Lima, baru-baru ini.
Tengku Amir Shah dan rombongannya menarik perhatian rakyat dan agensi kerajaan yang hadir apabila baginda tidak kekok turun ke bendang dipenuhi lumpur.
Malah, baginda yang mengadakan lawatan selama tiga hari di Sabak Bernam menunjukkan kemahirannya menanam benih padi menggunakan kuku kambing secara berbaris di petak sawah selain memandu jentera menabur padi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!