Masih ada yang tak berubah di Bukit Bintang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK Bukit Bintang melalui fasa naik taraf beberapa tahun lalu, Merak Jalanan berhenti mengunjungi kawasan utama pelancongan di Kuala Lumpur itu walaupun ia pernah menjadi rumah kedua suatu ketika dulu.

Namun, selepas lebih kurang 10 tahun tidak ke sana, hati Merak Jalanan tiba-tiba terdetik mahu menjejakkan kaki ke kawasan itu. Mata seolah-olah tidak sabar mahu melihat kemegahan pusat beli-belahnya yang banyak sebagaimana digambarkan dalam media sosial.

Malah, hati Merak Jalanan juga tertanya-tanya adakah benar kata-kata sesetengah netizen yang mendakwa kawasan tersebut kini setanding dengan Shibuya di Tokyo, Jepun yang terkenal dengan lintasan pejalan kakinya dari pelbagai arah.

Ternyata, sesampainya di sana, Bukit Bintang bukan lagi satu tempat yang Merak Jalanan pernah kenali suatu masa dahulu. Kawasan itu benar-benar melalui transformasi yang hebat.

Semua ruang kosong yang pernah wujud telah diisi dengan struktur bangunan merangkumi hotel dan pusat beli-belah.

Malah, restoran McDonald’s yang tegap berdiri menghadap simpang empat utama kawasan tersebut juga berubah namanya menjadi Mekdi!

Bagaimanapun, masih ada yang tidak berubah tentang Bukit Bintang. Selain dipenuhi manusia dari seluruh pelosok dunia, kawasan itu juga masih kekal dengan pemandangan yang menyakitkan mata.

Sampah-sarap masih lagi bertaburan dan ditinggalkan di laluan pejalan kakinya. Tak cukup dengan itu, golongan ibu yang entah dari mana datangnya masih lagi mengelek anak di tepian jalan meminta sedekah daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Mungkin tiada siapa sama ada orang ramai ataupun pihak berkuasa yang perasan mengenai perkara tersebut kerana masing-masing berjalan sambil mendongak melihat bangunan pencakar langit yang ada di Bukit Bintang.

Kesudahannya, mereka semua terlepas pandang imej buruk yang mencacatkan kawasan berkenaan, sekali gus menjadi sisi gelap Bukit Bintang yang digambarkan sebagai kawasan lepak 'orang ada-ada'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!