Menjunjung Perlembagaan

A
A
A

KETIKA menulis rencana ini, saya teringat satu peribahasa yang berbunyi, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Satu peribahasa yang cukup mudah dan jelas dalam menggambarkan bahawa kita harus menghormati dan mengangkat adat, amalan dan undang-undang di sesuatu tempat.

Apabila Pakatan Harapan berjaya menumpaskan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum lalu, acap kali kita melihat pelbagai isu perkauman yang timbul. Sama ada ditimbulkan secara sengaja, atau tercungkil tanpa sengaja, mahupun diwujudkan secara ‘mencari kesempatan dalam kesempitan’.

Ia bukan suatu isu yang baharu timbul, cuma ia dilihat semakin meruncing sejak mutakhir ini.Dalam bermain api perkauman, ada yang turut menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan. Katanya, apa yang terkandung dalam Perlembagaan tidak semuanya betul. Kononnya, ada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah tidak relevan lagi seperti hak-hak berkaitan keistimewaan bumiputera.

Ada yang bertingkah. Katanya, Perlembagaan pada awalnya digubal adalah untuk membawa orang Melayu keluar daripada kawasan kampung dan kemiskinan.

Kini sudah tidak ramai lagi orang Melayu yang miskin dan sudah ramai menetap di bandar-bandar. Ada juga yang beralasan kononnya apa yang terkandung dalam Perlembagaan merupakan fasa awal pembentukan Malaya/Malaysia di mana majoriti lain-lain bangsa tidak lahir dan bermastautin sepenuhnya di negara ini.

Ketika itu juga, ramai yang masih berketaatan pada negara asal mereka. Kini, bidasnya, lain-lain bangsa semuanya sudah hidup berketurunan di negara ini dan ketaatan mereka hanya pada negara ini, maka hak-hak keistimewaan bumiputera sudah tidak adil lagi untuk generasi kini.

Ada benarnya, lain-lain bangsa sudah lama menetap dan menjadi warganegara di negara ini. Kita semua adalah bersaudara.

Perlu saling hormat-menghormati dan menyayangi antara satu sama lain dalam memastikan negara ini kekal harmoni dan teguh. Kita sebenarnya saling memerlukan. Tetapi, mempertikaian kandungan Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang melibatkan hak-hak keistimewaan bumiputera adalah satu tindakan yang tidak bijak.

Artikel Berkaitan:

Diterajui

Perlembagaan digubal dengan niat untuk membentuk satu garis panduan umum bagaimana Malaysia harus ditadbir dan diterajui. Satu bentuk perundangan tertinggi yang harus diguna pakai dan dihormati, tidak kira betapa lama sudah Perlembagaan ini digubal. Benar, undang-undang manusia ini tidak bersifat tegar dan boleh dipinda pada bila-bila masa mengikut situasi.

Namun, saya berpendapat bahawa Perlembagaan dan undang-undang biasa yang lain tidak boleh dilayan sama cara. Jika kita sewenang-wenangnya mengubah isi kandungan Perlembagaan, maka akan hilanglah roh keharmonian dan kehormatan yang telah lama cuba disemai dalam hati rakyat di negara ini.

Perlembagaan ini umpama perjanjian awal ketika pembentukan negara ini. Semua pemimpin daripada pelbagai bangsa telah bersetuju dengan kandungannya. Jika perjanjian ini tidak dihormati, apa guna kita berjanji?

Contohnya, orang Islam di negara ini sudah lama menerima hakikat bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di negara ini.

Dalam erti kata lain, al-Quran sendiri tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Jika hendak diikutkan, orang Islam begitu sensitif dengan isu ini dan bagi mereka, tiada apa yang dapat mengatasi al-Quran. Namun, mereka sudah lama bertoleransi dengan perkara ini. Jika tidak, pasti sudah lama mereka tuntut agar al-Quran menjadi sebahagian daripada Perlembagaan negara ini.

Hak-hak keistimewaan yang dizahirkan dalam Perlembagaan mengenai bumiputera harus kekal dihormati.

Jika kita benar-benar mengkaji kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa ada banyak peruntukan yang menunjukkan bahawa kita semua sebenarnya saling bertoleransi antara satu sama lain.

Hak-hak bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak harus dilihat sebagai satu bentuk penindasan kepada bangsa lain. Sebaliknya, implementasi terhadap hak-hak tersebut perlu dilakukan secara sistematik dan telus agar bangsa lain tidak terasa seperti ditindas di negara sendiri.

Dalam menegak dan mempertahankan hak-hak bangsa kita, jangan pula kita mengabai dan menindakkan hak bangsa lain. Ayuh kita hormat-menghormati.

Peruntukan dalam Perlembagaan perlu terus kekal untuk dihormati dan disanjung tinggi. Ayuh kita perbaiki sumbing yang ada dan kukuhkan semula talian persaudaraan dalam kalangan kita semua, rakyat Malaysia. Biar tiada lagi istilah ‘pendatang’ mahupun ‘tuan tanah’ sesama kita.

Semua rakyat Malaysia adalah bersaudara tanpa mengira bangsa dan agama!

* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!