Kemelut politik Perak: Saarani dedah 8 ADUN kerajaan tak puas hati

Saarani ketika diwawancara mengenai situasi semasa politik di Perak.
Saarani ketika diwawancara mengenai situasi semasa politik di Perak.
A
A
A

SUASANA politik di Perak kian hangat dengan pelbagai kontroversi dan beberapa kenyataan terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang tidak berpuas hati dengan parti.

Keadaan itu memperlihatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu 'rapuh' dan berdepan masalah.

Ada yang melihat pembangkang mampu membentuk kerajaan seperti yang berlaku pada tahun 2009. Benarkah kerajaan akan bertukar atau sebaliknya?

Ikuti wawancara Ketua Wartawan Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad bersama Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mengenai situasi semasa politik di Perak.

SINAR HARIAN: Dikhabarkan parti kerajaan khususnya DAP berada di dalam krisis dan mereka seolah-olah sedang berpecah. Bagaimana pembangkang melihat situasi ini?

SAARANI: Bukan nampak berpecah, tapi memang berpecah. Cuma dulu mereka berpecah dua tetapi sekarang berpecah tiga atau mungkin empat.

Semua orang tahu DAP Perak berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan diketuai Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dan satu kumpulan lagi diketuai oleh M Kula Segaran (Naib Pengerusi DAP Pusat).

Mereka ini saling berantakan antara satu sama lain. Katanya (masalah dalaman yang berlaku ibarat) kocakan dalam cawan tapi melimpah juga kami dapat tahu.

Artikel Berkaitan:

Yang berhormat Tronoh (Paul Yong) ini asalnya budak Nga Kor Ming sama seperti dia mengasuh dan mendidikan ADUN Keranji, Chong Zhemin, sama seperti dia mengasuh dan mendidikan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng.

Mengenali Nga Kor Ming ini bukan sahaja dia mendidik tapi nak control ADUN, Tronoh, ADUN Pokok Assam.

Dia lupa orang ini semakin dewasa dan ada kekuatan dan penyokong sendiri ini yang tak digemari oleh Nga Kor Ming.

Sebab itu kita lihat di mahkamah baru-baru ini mana pernah berlaku orang buat huru-hara macam itu, itu prosiding mahkamah tetapi ahli-ahli DAP pergi menjerit suruh Nga Kor Ming letak jawatan.

Maknanya mereka dah tak boleh tahan. Yang menjerit itu penyokong-penyokong ADUN Tronoh.

Dulu ada dua kumpulan antara Kor Ming dan Kula Segaran, sekarang satu lagi kumpulan ADUN Tronoh. Sekarang ada tiga kumpulan. Sebenarnya DAP sedang berantakan sesama sendiri.

Jangan tuduh UMNO pula campur, kami tak campur. Punca berantkan ini dah dijawab oleh ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leoe Thye Yih.

SINAR HARIAN: Apakah masalah dalaman yang berlaku di dalam DAP itu boleh menyebabkan kerajaan bertukar?

SAARANI: Benda ini politik seperti mana yang berlaku pada 2009 tak semena-mena mula-mula (ADUN) BN lompat pergi seorang (menyertai Pakatan Rakyat). Tak semena-mena tiga orang daripada Pakatan Rakyat melompat kepada BN. Macam main catur.

Tapi BN ada maruah. Saya tidak mahu curi orang sepertimana Pakatan Harapan curi dua orang saya.

Kami pembangkang ada 25 UMNO, tiga Pas. Tapi kalau ada dua orang atau tiga orang di sebelah sana melarikan diri daripada DAP kerana marahkan Nga Kor Ming dan menjadi ADUN bebas.

Jika mereka mengulangi peristiwa 2009, ADUN bebas menyokong UMNO dan Pas membentuk kerajaan, bermakna 25 UMNO, tiga Pas dan dia datang tiga untuk menyokong, kita akan jadi kerajaan campuran 31 kerusi. Itu yang orang baca.

SINAR HARIAN: Ada pihak mendakwa terdapat usaha daripada pembangkang untuk memujuk ADUN-ADUN kerajaan menyertai BN dan Pas membentuk kerajaan. Adakah benar perkara itu berlaku?

SAARANI: Saya tak pernah pergi pujuk orang DAP. No! Kami ada maruah sendiri.

Tapi kalau mereka lari daripada DAP sebab mereka tak percaya, takkan saya bodoh sombong tak nak terima, marilah.

Tapi saya tak akan pujuk dia. Kalau dia rasa tak boleh ikut DAP atau Pakatan Harapan dan nak keluar itu satu perkara yang boleh berlaku.

Dengan mereka itu keluar jadi ADUN bebas menyokong kerajaan Perpaduan Ummah ini, kita akan jadi kerajaan tak kiralah November ke, Disember ke, esok lusa, it can be happen at anytime from now atau yang kedua, jika tiga orang keluar daripada Pakatan Harapan menjadikan kerajaan sekarang ini tinggal 28 kerusi tergantung.

UMNO dan Pas ada 28, Pakatan Harapan ada 28 dan tiga bebas. Kalau keadaan tak boleh menjadi kerajaan, menteri besar kena mengadap Tuanku Sultan (Sultan Perak) dan Tuanku akan bubar (DUN Perak).

SINAR HARIAN: Sekiranya DUN dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri, adakah BN dan Pas mempunyai kekuatan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Perak?

SAARANI: Kalau pilihan raya negeri berlaku, seperti yang semua maklum UMNO dan Pas akan pergi secara bersama-sama, tak akan lawan antara satu sama lain tapi sokong antara satu sama lain.

40 kerusi Perpaduan Ummah boleh (dimenangi untuk) menjadi kerajaan. Itu bukan cerita kosong kerana ini politik, macam-macam boleh jadi.

Ada orang kata takkan DAP nak meninggalkan DAP? Itu Datuk Hee Yit Foong (bekas ADUN Jelapang) lari macam itu sahaja, DAP lah tu.

Tak mustahil juga orang PKR pun lari. Orang PKR dia tengok kerajaan DAP huru-hara tak mustahil mereka lari. Dulu dua orang PKR lari. Dua-dua orang itu exco kerajaan negeri pada 2009. Tak mustahil orang PKR pun lari melihat kepada kerunsingan yang berlaku dalam kerajaan sekarang.

SINAR HARIAN: Semua sedia maklum kerajaan Pakatan Harapan Perak terbentuk selepas dua ADUN BN bertindak menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang baharu. Melihat kepada keadaan politik kini, tidakkah BN mahu memujuk bekas ADUN menyertai semula pembangkang untuk membentuk kerajaan?

SAARANI: Itu terpulang kepada merekalah, kalau mereka rasa nak menebus dosa, this is the right time. Kalau dia tak nak kita pun tak adalah ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Tak ada. Terpulang kepada mereka. Saya tak mahu dilihat terlampau kemaruk untuk jadi kerajaan. Memang saya nak jadi kerajaan tapi kita ada maruah. Kita ada kekuatan kita sendiri. Jadi kerajaan dengan kekuatan kita, bukan dengan pergi curi orang.

Seperti yang saya sebutkan tadi, kalau ada orang yang dapat hidayah nak meninggalkan Pakatan Harapan, dia tengok kerajaan negeri tak perform, rakyat semakin susah, kerajaan pun terumbang-ambing, ada tiga exco bermasalah.

Jadi kalau ada mana-mana ADUN Pakatan Harapan yang nampak dia tak dapat menunaikan tanggungjawab bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, mari bersama BN. Kami ada pengalaman jadi kerajaan, berpuluh tahun. Marilah, kita tak ada masalah. Jangan kata saya sombong taknak terima.Tak ada masalah.

SINAR HARIAN: Berdasarkan beberapa kenyataan media yang dibuat oleh ADUN-ADUN DAP sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga ADUN daripada parti yang tidak lagi sehaluan. Adakah jumlah ini mencukupi untuk kerajaan ini tumbang dan jika kerajaan baharu dibentuk nanti adakah ia kukuh?

SAARANI: Sebenarnya, bukan sahaja dua, tiga orang tak puas hati, dalam pengetahuan saya ada lapan orang yang tak puas hati sebab ini politik. Pada bila-bila masa sama ada berpindah kerajaan atau terbubar Dewan.

Sangat rapuh. Sebab itu saya katakan pada kawan-kawan di sebelah sana, nak tunggu jatuh ke? Nak jatuh bersama atau nak membangun bersama-sama kami?

Itu sahajalah pilihannya. Dia boleh jatuh bersama mereka atau nak bangun bersama kami, dua pilihan. Kami tak ada masalah sekarang Perpaduan Ummah ini kerja kuat.

Hampir setiap hari kita adakan ceramah dan jumpa orang nampaknya sokongan semakin kuat dan saya cukup yakin keikhlasan ini dengan kita tandatangan piagam nampak tak ada masalah besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!