Peniaga disamun, dipukul sampai koma
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dan berdarah di bahagian muka serta kepala di tempat letak kereta belakang sebuah kondominium di Lebuh Sandilands di sini awal Jumaat lalu.
Mangsa yang juga peniaga ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut dan kemudiannya memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa berusia 33 tahun itu dipercayai disamun tiga lelaki yang menaiki dua buah motosikal pada jam 2.07 pagi di kawasan terbabit.
"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kondominium berkenaan, mangsa dipukul menggunakan objek disyaki kayu oleh salah seorang suspek sehingga cedera parah.
"Mangsa kini dirawat di HPP (Hospital Pulau Pinang) dan masih dalam keadaan koma. Dia disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan patah tulang muka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati kereta mangsa jenis Honda Civic masih berada di tempat meletak kereta kondominium tersebut.
"Barang berharga milik mangsa termasuk dompet dan telefon jenis Iphone 10 juga didapati hilang," katanya.
Che Zaimani berkata, pada jam 12.15 tengah malam Ahad lalu, polis menahan dua lelaki di hadapan sebuah bengkel motosikal di Jalan Air Itam di sini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berusia 25 dan 23 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah melibatkan dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek mendapati positif syabu. Suspek pertama yang berasal dari Lorong Kebun Nyior itu mempunyai lima rekod jenayah manakala rakannya dari Kuarters HPP mempunyai satu rekod jenayah.
"Dari tangkapan itu, kita merampas beberapa barangan antaranya dua buah motosikal, anak kunci motosikal dan sepasang kasut sukan. Polis turut membuat dua serbuan di lokasi berbeza iaitu tempat tinggal kedua-dua suspek dan merampas beberapa barangan termasuk pakaian," katanya.
Che Zaimani, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut bersama seorang lagi suspek yang masih bebas.
"Rakan mereka yang turut terlibat sudah dikenal pasti dan kita sedang giat mengesannya. Dipercayai barangan berharga milik mangsa berada bersama suspek tersebut.
"Kita masih menyiasat motif kejadian sama ada samun atau ada motif lain dan kedua-dua suspek itu ketika ini direman untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!